Dr. A.H.Johns dalam bukunya 'Malay Sufism' menggambarkan kemeriahan dan kegemilangan negeri Melaka:
"Dengan berkembangnya negeri Melaka sebagai sebuah pusat perdagangan Islam, dunia Melayu telah dibawa ke dalam arus perniagaan yang merentasi Asia Selatan, dari Mesir, dunia Arab, Teluk Parsi, Hindia Timur, Hindia Barat, dan Gugusan Kepulauan Timur dan China. Tambahan pula, Melaka di era kemuncaknya amat penting di dalam sistem perdagangan yang luas sekaligus merupakan kota antarabangsa. Ianya juga merupakan sebuah Kuasa Politik Utama Serantau dan pusat keagamaan bagi masyarakat Islam yang sedang berkembang ketika itu yang menjadi tumpuan utama bagi tujuan pengajian dan pendidikan bagi kaum muslim."
Hubungan erat yang terjalin di antara ulama dan umara ketika itu menjadikan Melaka sebagai pusat penyebaran agama Islam dan pusat ilmu. Ini dijelaskan oleh sarjana sejarah Muhammad Abu Bakar di dalam bukunya 'Ulama Terengganu - Suatu Sorotan'.
"Semenjak zaman Melaka, dan di sepanjang sejarah Islam di Tanah Melayu, ulama pula sering mendekati istana atau pusat kuasa, dan di sana atau dari sana, mereka bergerak memainkan peranan mereka. Di istana Sultan Melaka, ulama seperti Maulana Abu Bakar, Saiyid Abdul Aziz dan Maulana Yusuf, bukan sahaja muncul sebagai guru tetapi juga penasihat kepada pemerintah, satu kedudukan strategis yang membolehkan mereka berfungsi dengan lebih berkesan dalam skima pengislaman negara dan masyarakat...
...Masyarakat yang dipayungi oleh kekuasaan sultan atau raja, dan insaf tentang keperluan mentaati dan mematuhi ulil amri, tidak berada dalam keadaan berkonflik dengan ulama yang bergerak dan berdamping dengan pemerintah. Hubungan simbiotis antara ulama dan umara jelas sekali mendapat restu dan sokongan rakyat. Kesemua pihak bergerak dan berinteraksi dalam satu sistem yang padu. Walaupun masing-masing hidup berasingan dari segi fizikal, dan bekerja di tempat-tempat yang berlainan pula. Ketika perang dan damai, kesemuanya bertindak sebagai satu kesatuan."
Dipetik daripada buku 'Menyingkap Misteri Pulau Besar' oleh Ana Faqir.
Saturday, July 18, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment