Thursday, November 11, 2010

Kontrak sosial perlu dipatuhi rakyat: Nazri

"Di Malaysia terma ''kontrak sosial'' merupakan hasil daripada kompromi etnik Melayu, Cina dan India mengenai hak bersama dan masing-masing, kedudukan istimewa dan persetujuan antara raja-raja Melayu dengan British bagi mewujudkan suatu kerajaan dengan sistem demokrasi, beraja, bersekutu serta tidak teokratik," katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Nurul Izzah Anwar (PKR-Lembah Pantai) yang ingin tahu sama ada kontrak sosial yang wujud ketika merdeka diiktiraf oleh kerajaan sebagai satu kontrak rasmi dan sama ada Rukun Negara dianggap sebagai satu kontrak untuk rakyat.

Mohamed Nazri berkata Rukun Negara juga telah diwartakan sebagai hebahan kepada rakyat bahawa ia merupakan satu kontrak yang mengikat dan perlu dipatuhi oleh semua.

"Tujuan utama Rukun Negara diwujudkan adalah untuk mengembalikan keharmonian serta kesejahteraan rakyat berbilang bangsa dan agama serta berperanan memperkukuh semangat serta membentuk identiti nasional warganegara sebagai satu bangsa Malaysia," katanya.

Beliau berkata Rukun Negara adalah ideologi kebangsaan Malaysia yang telah diisytiharkan oleh Yang di-Pertuan Agong pada 31 Ogos 1970.
Selepas Rukun Negara diisytiharkan, kerajaan juga telah mengambil langkah meminda Perlembagaan Persekutuan melalui Akta Perlembagaan (Pindaan) 1971 bagi memasukkan prinsip-prinsip yang terkandung dalam Rukun Negara ke dalam Perlembagaan Persekutuan, katanya. - BERNAMA

www.bharian.com.my

No comments:

 
Original Template By : uniQue  |    Modified and Maintained By : Intydez