Thursday, December 30, 2010

Warisan purba diancam pemanasan

Beliau merupakan ketua penyelidik arkeologi Perancis di Asia Tengah yang memainkan peranan penting dalam penggalian Kurgan atau makam puak nomad Scythian di pergunungan Altai, Siberia.

Ibun abadi yang merupakan lapisan beku bumi memelihara warisan dunia sehingga hari ini mula menunjukkan tanda-tanda ia cair. "Ada yang dimumiakan, cacah badan, ditanam bersama kuda, bulu, objek kayu dan pakaian.

"Bersama rakan-rakan sekerja Rusia saya, kami memerhatikan sebahagian daripada tanah cair setiap musim, malah semakin dalam saban musim. Tindakan segera untuk mencegahnya perlu dilakukan sebelum terlambat," ujarnya.

Menurut Francfort, jasad Oetzi ditemui disebabkan altitud glasier semakin menurun di wilayah Tyrol, Itali. "Glasier kian cair terutamanya di Norway akan membongkar beberapa khazanah lain," katanya. Pakar-pakar memberi peringatan peningkatan paras lautan mungkin akan melonjak sehingga satu meter menjelang tahun 2100 mengikut beberapa ramalan sekali gus memusnahkan berdozen tapak arkeologi pantai termasuk kepulauan Pasifik.

Di Tanzania, hakisan maritim telah memusnahkan satu dinding kubu Kilwa yang dibina penjajah Portugis di sebuah pulau yang terletak tidak jauh dari pantai pada tahun 1505, kata Francfort. Dalam pada itu, kota Panam di Sonargaon, Bangladesh juga merupakan jantung negeri Benggala dari kurun ke-15 hingga ke-19 turut musnah akibat sering dilanda banjir.

Panam sebelum ini disenaraikan Lembaga Eksekutif Pertubuhan Kebudayaan, Saintifik dan Pendidikan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) sebagai salah satu daripada 100 lokasi diancam oleh iklim perubahan.

Ramalan peristiwa-peristiwa melibatkan cuaca yang tidak dapat dijangka terutamanya taufan juga amat membimbangkan, kata pakar arkeologi Amerika di CNRS, Dominique Michelet. Dia berkata, kes Chan Chan di Peru yang merupakan bekas ibu negara tamadun Chimu dan prabandar terbesar Colombia di Amerika Latin terdedah kepada banjir yang berkait rapat dengan corak cuaca El Nino.

Sebahagian besar kuil Maya Tabasqueno di Mexico juga perlu dibina semula selepas ia mengalami kerosakan teruk akibat dipukul dua puting beliung pada tahun 1995 iaitu Opalo dan Roxana.

"Ahli arkeologi telah berjaya mengukuhkan kuil utama, tetapi bangunan-bangunan tidak dapat menampung air dan roboh," kata Michelet. Selain itu, pasir juga merupakan musuh tapak arkeologi seperti di Sudan apabila gumuk merupakan punca kawasan piramid Meroe semakin lenyap.

Setakat ini usaha UNESCO mengenal pasti tapak arkeologi berbahaya tidak ke mana dan dunia perlu mempunyai kesedaran mengenai ancaman ini, tegas Michelet. "Arkeologi merupakan sebahagian sejarah manusia," kata Francfort yang mencadangkan penyelesaian radikal perlu diambil untuk memelihara khazanah masa lampau daripada perubahan iklim.

Sumber : www.kosmo.com.my

Sunday, December 19, 2010

Jasa Tunku Dikenang

Pemimpin ulung yang memerdekakan negara bersama Tun Abdul Razak Hussein, Tun Tan Cheng Lock, Tun V T Sambanthan dan lain-lain untuk bangsanya kini hanya tinggal kenangan melalui gambar, artifak peribadinya dan penulisannya.

Buku hasil karyanya seperti Looking Back dan As I See It yang ditulis ketika menjadi pengerusi akhbar The Star (1974-1986) banyak mencetuskan kontroversi politik semasa. Malah, pada 1987 akhbar itu digantung penerbitannya dalam satu operasi eksekutif yang dipanggil Ops Lalang.

Sewaktu menatap pelbagai foto Tunku yang beraksi dan bersahaja, tatkala merenung hologram beliau yang dirakamkan dengan ucapan dan kata-kata hikmatnya, seseorang pelawat itu terasa seolah-olah Tunku masih bersama rakyat jelata yang menyokong dan bersamanya.

Pekikan merdeka tujuh kali di Stadium Merdeka 53 tahun lalu memenuhi ruang legar dan arena artifak Tunku di Galeri Tunku Abdul Rahman yang kini sudah menjadi mercu tanda sejarah dan kearkiban.
Kaum kerabat Tunku termasuk Tunku Ahmad Nerang dan Tunku Khadijah mengikuti bersama acara ringkas pada hari itu. Sebahagian besar jemputan terdiri daripada mereka yang mengenali Tunku dari dekat.

Datuk Yusof Latif, anak buahnya Tengku Dr Sofiah Jewa serta suaminya, Dr Yaacob Merican dan kenalan Tunku daripada pelbagai kaum turut bersama di ruang pameran galeri itu.

Masih terbayang dalam ingatan bagaimana ribuan manusia berkerumun di kediaman Tunku di Bukit Tunku pada 6 Disember 1990. Daripada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ketika itu sehingga kepada seorang individu bernama M Kuppusamy yang pernah bekerja dengan Tunku ketika beliau berjuang di Johor Bahru pada 1951, semuanya memberi penghormatan terakhir kepada Tunku pada tanggal sedih itu.

Penulis ialah Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan
(bharian.com.my)

Tuesday, November 23, 2010

Seisi Melaka kini mengerti Datuk, bahawa Hang Jebat merupakan penderhaka yang mengamuk, mengkucar-kacirkan istana dan seisinya serta berahi bermukah dengan 700 dayang dan perwara kesayangan baginda di kamar siraman mahu pun di tampuk singgahsana. Datuk Bendahara, sesungguhnya perkhabaran ini adalah dusta dan dongeng belaka kerana ia hanyalah perkhabaran rupa tanpa wujud petanda kukuh dan nyata. Barangkali juga, ia adalah satu fitnah dina yang disampaikan oleh Dang Prani, perwara istana kesayangan Patih Karmawijaya yang gemar mencipta muslihat dan angkara di istana. Bukankah Dang Prani juga telah mempergunakan Hang Tuah yang terlalu setia kepada baginda sultan untuk masuk ke kamar dayang-dayang suatu ketika dahulu? Lalu dengan muslihatnya bersama Patih Karmawijaya juga, Hang Tuah, pahlawan kesayangan Datuk Bendahara itu telah dijatuhkan hukum bunuh dengan tidak semena-mena? Namun, mujurlah dengan kebijaksanaan Datuk, pahlawan Melaka itu tidak langsung dibunuh tanpa usul periksa, sebaliknya hanya dipasung sahaja di dusun tua Datuk yang terletak di hujung rimbaloka.

Datuk Bendahara,

Jasad Hang Jebat telah selamat dimakamkan di hujung sebuah taman larangan di Duyong. Upacara kecil-kecilan ini nyata tidak banyak mengundang para jelata untuk bertandang ziarah ke upacara ini, lantaran nama Hang Jebat sudah busuk dalam fikiran rakyat Melaka sebagai penderhaka tegar dan pengkhianat kepada baginda. Khabarnya, berita kematian Hang Jebat juga sudah sampai ke pengetahuan Maharaja Baginda Pasai dan Sultan Pattani lantas ia menjadi buah mulut para marhaen di alam Melayu ini, lalu tersebar juga perkhabaran ini ke telinga ketua turus soldadu Peringgi, Alfonso d' Albuquerque yang baharu sahaja merafak sembah ke bawah duli Tuanku sepurnama yang lalu.

Namun, ada berita yang lebih pahit dari itu. Ada cakap-cakap siang yang mengatakan bahawa jasad Hang Jebat telah dibuangkan ke laut, dibakar dan abunya ditanam di pinggiran rimba. Perkara ini ternyata mendukacitakan hamba, Datuk kerana adat Melayu matinya biar berkubur dan bernisan, walau hidup jasanya dilebur dan menjemala cacian. Patik pohon perkara ini diperbetulkan kembali lantaran ia adalah fitnah dina semata-mata. Hakikatnya kekanda Hang Jebat telah bersemadi dengan aman di alam barzakh yang fana.

Bukankah Datuk juga yang memerintahkan pengawal Datuk untuk menghantar jenazah Hang Jebat pulang ke rumah untuk hamba menguruskan pemakamannya? Bukankah Datuk juga yang memerintahkan agar keturunan kami diusir keluar dari bumi Melaka yang bertuah ini? Lantaran itulah, hamba bersama Lang Buyong membawa diri bersama anakanda hamba, Hang Kadim untuk menderap langkah jauh daripada fitnah dan cercaan jelata terhadap kami lantaran kami merupakan jurai keturunan Hang Jebat, pahlawan derhaka yang telah menconteng arang di muka Tuanku Baginda.

Datuk,

Ingin juga di sini hamba khabarkan kepada Datuk Bendahara perihal Tun Indera Segara, kepala angkatan soldadu laut Melaka yang menjaga urusan keluar-masuk kapal di gerbang laut Melaka yang agak musykil tingkah lakunya sejak beberapa purnama. Tun Indera Segara dilihat amat baik benar dengan Deigo Lopez d' Squera, wizurai Peringgi yang meniaga senjata api di pasar Melaka itu. Hamba bimbang, kalau-kalau tersirat muslihat dan rahsia antara mereka, kelak bahanalah akibatnya segala kemakmuran negeri Melaka yang tercinta.

Persahabatan

Bukankah adat Melayu itu ramah bersahabat namun waspada pada ciptaan helah tipu muslihat? Bukankah Melayu tu diajar menenun lembar persahabatan namun tidak akan sekali-kali terlupa pada bilah gunting di dalam lipatan? Melayu itu dididik membenci khabar fitnah dina nan karut, namun tetap berhati-hati pada hadirnya musuh di dalam selimut? Bangsa ini bukankah pemurah ketika memberi namun andai menerima jangan sampai mengemis diri, apa lagi Melayu itu kayanya pada seluhur budi, miskinnya dari sifat meninggi diri? Melayu itu pedomannya merendah hati tatkala diri dijunjung, mulia hati apabila jasa murni sudah mula tinggi disanjung!

Bukanlah nian di hati hamba ingin menjala prasangka kepada pedagang Benggali Putih itu Datuk, tetapi andai sumbang langkah dan terlalu tinggi empunya bukankah kita dapat menerka kebimbangan bahawa barangkali pada suatu hari nanti mereka bersedia memasang perangkap untuk menjerat kedaulatan bumi Melaka dengan mencipta kesulitan dan angkara?

Datuk Bendahara Melaka yang bijaksana,

Hamba tidak pernah menyarang sesal kerana kehilangan arjuna tercinta, apatah lagi nyawanya dicabut oleh saudara kandungnya sendiri, Hang Tuah. Sementelah, Hang Jebat juga berkali-kali menceriterakan kepada hamba bahawa janganlah nyawanya diragut lanun Melaka, atau terburai dek robekan taring singa di Inderapura, atau dirodok todak di pesisir laut Temasik bergelora, kerana arjuna hamba itu lebih rela mati dek tikaman Taming Sari Tuah yang racunnya berbisa tak terkata.

Ada pun, hanya kerana kepalsuan bondongan kisah pilu ini menyelubungi hamba, menjadikan hamba terkilan dan hilang pertimbangan duga. Maka beredarlah hamba dan Hang Kadim ke Temasik untuk merawat jiwa. Mengenangkan kematian Hang Jebat menjadikan luka di benak dan kalbu hamba bertambah lara. Bagaimanakah mungkin segala pengorbanan Jebat terhadap bumi Melaka dipandang sepi begitu sahaja? Apakah ertinya pertarungan saudara ini atas alasan setia? Bukankah maruah dan kebentaraan Melaka terletak pada panji keadilan yang dikibarkan megahnya sebuana?

Di manakah terpancangnya paksi ketinggian budi yang selama ini menjadi pegangan orang kita, Datuk? Ingatkah Datuk kepada peristiwa dua dasawarsa dahulu? Peristiwa hitam yang hampir meragut nyawa Datuk tatkala sekumpulan petualang mengamuk ketika Datuk mahu menghadiri pesta tari-menari di balairung istana untuk menjamu ketibaan pedagang Parsi di Melaka? Bukankah ketika itu mereka lima bersaudara telah menyelamatkan Datuk ketika sepuluh orang pengawal Datuk yang pengecut itu membuka langkah seribu? Ingatkah Datuk bahawa antara mereka berlima, Hang Jebatlah yang mula-mula menerpa dan menghunus senjata demi mempertahankan nyawa seorang bendahara? Ingatkah Datuk bahawa Hang Jebat jugalah yang kemudiannya mengambil alih tugas untuk mengajar pengawal Datuk bermain senjata ketika Hang Tuah berlayar ke Terengganu untuk merencanakan muslihat untuk melarikan Tun Teja?

Kehilangan

Aduhai Datuk Bendahara,

Mudahkah untuk Datuk melupakan jasa dan bakti Hang Jebat selama ini? Andai kata Datuk tidak mencanangkan bahawa Hang Tuah itu masih hidup, sudah pasti Melaka tidak akan kehilangan seorang pahlawan yang dibunuh tanpa usul periksa dan cukup petandanya. Datuklah yang mencadangkan supaya Baginda Sultan memaafkan Hang Tuah dan membuang si Jebat yang khabarnya derhaka itu. Datuk jugalah yang melepaskan Hang Tuah dari pasungannya, memandikannya dengan air mandian istana yang diperbuat daripada sembilan puluh sembilan kuntum mawar sulung yang mekar di taman larangan istana dan sembilan puluh sembilan kelopak Daffodil kuning yang dihadiahkan oleh pedagang Belanda kepada Baginda Sultan. Lalu, Datuk jugalah yang telah memakaikan Hang Tuah dengan sepersalinan diraja yang diperbuat daripada tenunan sutera Cina dan benang emas yang dihadiahkan oleh seorang pedagang Arab dari Goa.

Usai segala urusan itu, Datuk jugalah yang memancing Baginda Sultan agar mengurniakan Keris Parung Sari Delima Sakti kepunyaan ayahanda baginda di Bukit Siguntang kepada Hang Tuah walaupun seisi Melaka mengerti bahawa selagi Taming Sari berada di tangan Hang Jebat, usahkan membunuh, melukai dirinya pun belum tentu dapat dilakukan oleh Hang Tuah. Lalu, Datuk jugalah yang mengajarkan Hang Tuah bicara manis untuk mencairkan hati Hang Jebat dalam pertarungan selama tujuh hari tujuh malam itu. Lalu, dengan takdir Allah Azzawajalla, terbunuhlah Hang Jebat setelah Hang Tuah berjaya mencipta muslihat untuk bertukar keris dengan Hang Jebat pada malam Jumaat, iaitu setelah enam hari mereka berpencak bermain senjata.

Maklumkah Datuk bahawa Hang Tuah telah menanggung bergunung sesal sejak kematian Hang Jebat itu? Saban hari dia akan menyalahkan dirinya atas kematian Hang Jebat. Apatah lagi, tatkala segelintir rakyat Melaka memasyhurkannya sebagai perwira, namun tidak kurang juga yang mencacinya lantaran mencabut nyawa Hang Jebat yang pernah disumpahnya bersaudara. Maklumkah Datuk, sejak membunuh Hang Jebat, Patih Karmawijaya bersorak-sorai dan kian arai mencipta bencana dalam pengenaan cukai disamping melebarkan pengaruhnya yang kian menjurai?

Datuk Bendahara,

Andai ada kisah hitam dalam riwayat keagungan empayar Kesultanan Melayu Melaka, maka pertarungan inilah satu daripadanya. Sebuah ceritera luka yang menyimpan sejuta rasa dalam lubuk jiwa yang bergelora. Pertarungan saudara atas dua rasa percaya yang berbeza. Satu setia kepada Raja dan tanah airnya, dan satu lagi setia membela kebenaran tanpa membenar kepalsuan bermaharajalela. Matinya Hang Jebat di tangan Hang Tuah bukan sahaja mengakibatkan hamba kehilangan kasihnya, tetapi juga laranya Hang Kadim kehilangan ayahandanya yang sebelum ini dikhabarkan sebagai 'Singa Melaka'. Apatah lagi pabila mendengar perkhabaran bahawa ayahandanya mati di tangan Hang Tuah, bapa saudara yang sering mengajarnya bermain senjata dan menjerat pelanduk di hujung taman inderaloka.

Matinya Hang Jebat menjadikan Hang Kadim terpinga dan sering mempersoal musabab kepergian ayahandanya. Inilah fiil anak kecil yang sering merindui kelibat ayahandanya yang hilang secara tiba-tiba. Rajuk dan tangisnya berjela-jela dalam murung rutin hidup yang berdukacita. Tiada senyum suka atau ria ketawa. Geringnya juga sudah berlarutan setengah purnama namun tiada tanda-tanda mahu kebah jua. Ternyata perkara ini menimbulkan kegusaran di benak hamba memikirkan perihal anakanda hamba yang dikasihi sepenuh jiwa.

Kewalangan

Namun, dalam pada kewalangan hati dan jiwa yang terluka, hamba sedikit terharu dengan perihal seorang pujangga berketurunan Banjar bernama Raja Abdullah yang sering sahaja mendekati hamba untuk mengetahui kisah kehidupan hamba lalu dihikayatkan ia di dalam senaskhah tulisan sejujur perinya. Pada firasat Raja Abdullah, kisah ini terlalu tragis dalam lingkaran peradaban kita dan ada juga kira-kiranya kelak kisah ini dapat diteladani oleh sekalian watan kita di kemudian hari agar mereka tahu membeza erti setia tumpul membuta dan tekal memperjuangkan keadilan meski nyawa menjadi taruhannya.

Datuk,

Andai ada kekhilafan laku pada sejalur sejarah kita ini yang masyhur peradabannya sebuana, inilah satu daripadanya. Pembunuhan Hang Jebat menjadikan dirinya tidak ubah seperti seorang sang pidana yang terpasung dalam jeriji keadilan yang marba. Tanpa belas dan pertimbangan nyata. Sarat duka dalam lipatan peristiwa yang mematahkan tangkai jiwa. Dirinya seperti seorang pidana yang terpenjara di kurungan keadilan yang tidak dipancangkan pada mohornya. Derhakanya di mata jelata adalah amukan bermaharajalela, meski dia hanya memperjuangkan keadilan yang menjauh dari tampuknya.

Dialah sang pidana yang terpenjara dalam mainan emosi dan runtun hatinya. Luluh jiwa berwalang rintihnya. Betapa apa jua akan dikorbankan demi sebuah keadilan walau nyawa dan jiwa menjadi galang gantinya. Betapa apa jua dugaan yang menimpa adalah lumrah seorang pejuang kebenaran yang sentiasa cuba untuk menggoyahkan paksi kepalsuan atas nama kesejahteraan. Betapa apa jua bentuk hukuman yang akan dihadapi perlu diredai lantaran percaya bahawa meski pejuang kebenaran itu mati, namun hakikatnya dia akan hidup seribu tahun lagi.

Demi Melaka dan kemasyhurannya, hambalah Dang Baru - sri kandi seorang pidana yang sering menangis sambil membebat berbondong derita di pasungan sejalur sejarah luka yang palsu dan lara."


Balik kehalaman awal>>


Sumber: Utusan Malaysia

Thursday, November 11, 2010

Kontrak sosial perlu dipatuhi rakyat: Nazri

"Di Malaysia terma ''kontrak sosial'' merupakan hasil daripada kompromi etnik Melayu, Cina dan India mengenai hak bersama dan masing-masing, kedudukan istimewa dan persetujuan antara raja-raja Melayu dengan British bagi mewujudkan suatu kerajaan dengan sistem demokrasi, beraja, bersekutu serta tidak teokratik," katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Nurul Izzah Anwar (PKR-Lembah Pantai) yang ingin tahu sama ada kontrak sosial yang wujud ketika merdeka diiktiraf oleh kerajaan sebagai satu kontrak rasmi dan sama ada Rukun Negara dianggap sebagai satu kontrak untuk rakyat.

Mohamed Nazri berkata Rukun Negara juga telah diwartakan sebagai hebahan kepada rakyat bahawa ia merupakan satu kontrak yang mengikat dan perlu dipatuhi oleh semua.

"Tujuan utama Rukun Negara diwujudkan adalah untuk mengembalikan keharmonian serta kesejahteraan rakyat berbilang bangsa dan agama serta berperanan memperkukuh semangat serta membentuk identiti nasional warganegara sebagai satu bangsa Malaysia," katanya.

Beliau berkata Rukun Negara adalah ideologi kebangsaan Malaysia yang telah diisytiharkan oleh Yang di-Pertuan Agong pada 31 Ogos 1970.
Selepas Rukun Negara diisytiharkan, kerajaan juga telah mengambil langkah meminda Perlembagaan Persekutuan melalui Akta Perlembagaan (Pindaan) 1971 bagi memasukkan prinsip-prinsip yang terkandung dalam Rukun Negara ke dalam Perlembagaan Persekutuan, katanya. - BERNAMA

www.bharian.com.my
 
Original Template By : uniQue  |    Modified and Maintained By : Intydez