Sunday, November 30, 2008

Pahang dan Acheh

Pemandangan Pekan, ibu negeri Pahang (1896)

Sultan Ahmad dengan rombongan baginda yang mengenakan sutera tenun Pahang, ketika Persidangan Durbar pertama di Kuala Kangsar (1897)

Pada 1614, Sultan Alauddin Riayat Shah III telah dibenarkan oleh Sultan Iskandar Muda Mahkota Alam (Raja Acheh) pulang ke Johor. Kebenaran itu diberikan kerana Sultan Johor berjanji:
* akan membantu Acheh melawan orang Portugis
* tidak membenarkan orang Belanda tinggal di Johor

Pada Ogos 1615, Sultan Johor (yang suka berbaik dengan Portugis) telah membuat perjanjian dengan orang Portugis di Melaka untuk menghantar putera baginda (Raja Bujang, Sultan Abdul Jalil Shah III) menduduki takhta kerajaan Pahang sebagai Sultan (bagi menggantikan tempat putera Almarhum Sultan Abdul Ghafur yang dikatakan kejam).

Sebulan kemudian, angkatan perang Acheh mengalahkan Johor dan menawan Sultan. Raja Abdullah (Sultan Abdullah Ma'ayat Shah menjadi pengganti dan baginda berkahwin dengan adinda Sultan Acheh).

Pada 1617, Sultan Acheh menyerang Pahang pula. Raja Bujang lari ke Pulau Lingga dan menetap di sana. Namun Raja Ahmad (ayah mertuanya) dan Raja Mughal (adik iparnya) serta 10,000 rakyat Pahang ditawan dan dibawa ke Acheh. Puteri Kamaliah (puteri diRaja Pahang) kemudian berkahwin dengan Raja Acheh. Puteri Pahang itu termasyhur dalam sejarah Acheh kerana kebijaksanaannya.

Selepas Acheh mengalahkan Pahang, putera Almarhum Sultan Abdul Ghafur kembali berkuasa memerintah Pahang. Baginda membangunkan beberapa buah kedai yang boleh didiami saudagar dengan membayar sewa. Kedai itu tidak jauh dengan kapal. Ramailah pedagang yang berlabuh di situ untuk berniaga.

Mengikut keterangan Baretto de Resende (orang Portugis): Pada 1629, angkatan Sultan Abdul Jalil Shah III (Raja Bujang) telah membantu orang Portugis di Melaka untuk menewaskan serangan Acheh.

Tiga tahun kemudian, Acheh mencadangkan askarnya bersatu dengan Belanda (sebagai angkatan laut) serta Sultan Pahang (tentera darat) menyerang Portugis di Melaka tetapi tidak dilaksanakan. Anehnya, pada 1634, Pahang dan Johor menyebelahi Portugis pula bagi menentang Belanda. Keadaan 'mengelirukan' ini berlarutan buat beberapa lama.

Foto: MALAYSIA - A Pictorial History
(Archipelago Press)

Thursday, November 27, 2008

Askar Timbalan Setia

Pasukan tentera Askar Timbalan Setia Negeri Johor ditubuhkan pada 1885. Ia diberi panji-panji diRaja pada 11 Mei 1916. Ketika penubuhan tersebut, Johor di bawah pemerintahan Sultan Sir Ibrahim Iskandar Al-Masyhur ibni Almarhum Sultan Sir Abu Bakar. Johor adalah negeri yang pertama memiliki pasukan tenteranya sendiri dan dibiayai oleh kerajaan negeri sehingga sekarang.

Ketika ura-ura akan meletuskan Perang Dunia Pertama di Eropah, pentadbir Inggeris mendesak Sultan Sir Ibrahim untuk menerima Penasihat British bagi membantu mentadbir negeri. Pada hakikatnya, ini bermakna baginda kehilangan kebebasan tersebut. Sebagai balasan, Gabenor Negeri-Negeri Selat bersetuju kepada penubuhan satu pasukan Askar Timbalan Setia yang berikrar taat setia kepada Sultan Johor. Ia boleh dikatakan sebagai tentera peribadi.

Kompeni pertama terdiri daripada 60 anak Melayu Johor (anggota askar infantri) dan 20 askar Punjabi (pasukan artileri). Kapten Newland, pegawai Inggeris, dilantik sebagai pemerintah pasukan. Orang Melayu pertama diberikan tauliah sebagai pegawai ialah Kapten Daud bin Sulaiman.

Perang Dunia Pertama

Antara peristiwa bersejarah adalah:

· Mereka menangkap askar-askar India (pasukan 5th Light Infantry di Singapura) pada tahun 1915 semasa mereka merentasi Selat Johor ketika melarikan diri daripada buruan pihak berkuasa British.

· Kontinjen seramai 2 pegawai dan 100 anggota mengawal keselamatan di Berek Tanglin di Singapura.

· Membantu kawalan tawanan perang ke atas tahanan Jerman di Singapura.

· Menjaga keselamatan kawasan di Pulau Belakang Mati (kini Pulau Sentosa) hingga akhir perang.

· Mengawal keselamatan laluan perhubungan di kawasan Mersing, Kluang dan Batu Pahat.

Perang Dunia Kedua

· Askar Timbalan Setia Johor tidak dikerahkan oleh Markas Gerakan Tanah Melayu sebagai sebahagian daripada pasukan pertahanan Semenanjung Tanah Melayu.

· Bila Tentera Jepun memasuki Johor Bahru, Askar Timbalan Setia tidak memberikan sebarang tentangan atau terlibat dalam pertempuran menentang mereka.


Tuesday, November 4, 2008

Catatan Norzailina...

Ketari, Bentong, Pahang. Tahun 1944. Kerana isterinya ditimpa penyakit selepas melahirkan, Ho Wah menyerahkan bayi perempuan itu kepada seorang bidan Melayu, Bah bt Itam. Bayi itu adalah ibu saya, Norlia bt Abdullah. Kini pada usia 63, dia dipertemukan kembali dengan kakaknya, Ho Ah Yook, 75, setelah terpisah selama hampir 58 tahun!

Pertemuan bersejarah diadakan di rumah kenalan Ah Yook di Ketari jam 10.00 pagi, 17 Nov 2007. Tiada air mata dititiskan, hanya senyuman gembira dan rasa puas hati dapat berdakapan setelah sekian lama terpisah oleh jarak dan waktu.

Semuanya bermula kerana Ah Yook cuba menjejaki ibu melalui rakan2nya (Kam Moi & Ah Mooi) yg masih tinggal di Ketari. Meskipun Ah Yook tidak fasih berbahasa Malaysia, perbualan kami (yg dialih bahasa oleh Ah Mooi) sungguh mesra dan menghiburkan.

Kata Ah Yook, wajah ibu saya mirip mendiang ayah mereka, Ho Wah (yg telah meninggal dunia di Ampang, rumah anak sulongnya, Ho Yin Fatt, 80). Banyak kisah keluarga ibu yang masih diingati oleh Ah Yook kerana usianya 12 tahun ketika ibu dilahirkan.

Waktu itu memang sukar kerana askar-askarJepun membunuh ramai orang-orang Cina. Ibu juga mempunyai seorang lagi kakak yg telah diserahkan kepada sebuah keluarga Cina (kini tidak tahu di mana dia berada). Sungguh sayu melihat dua orang wanita berpegangan tangan setelah sekian lama tidak bersua. Amat tersentuh melihat dua org wanita berlainan agama berdakapan kerana mereka lahir dari ayah dan ibu yg sama!

Setiap gerak geri ibu dengan kakaknya hampir serupa. Malah cara mereka senyum pun sama. Meskipun mereka dibesarkan dalam keluarga berbeza, pertalian darah itu tetap ada. Dan buat pertama kalinya, saya dapat memanggil 'Tai Yee' (mak cik) pada ibu saudara Cina saya!




Monday, October 13, 2008

Warkah untuk Bonda di Aidilfitri



Kedaulatan Melayu hadir daripada berdaulatnya Agama Allah yang mengalir dalam darah mereka, diserikan dengan adat budaya yang amat halus dan indah dan cantik. Di Aidilfitri, berpantang Melayu tidak memohon maaf daripada Bonda dan Ayahanda. Saya amat berterima kasih kepada Zai yang telah menukilkan deraf warkah saya kepada Ibu yang tercinta di Aidilfitri tahun ini. Kandungannya seolah terasa, isinya menusuk jiwa dan benar, dan seperti sepucuk warkah kepada sekian kaum Ibu di nusantara Melayu. Terima kasih Norzailina, penulis kreatif wanita Melayu yang disegani kerana sudi mengukir ucapan kasih kepada seorang ibu. Warkah ini adalah warkah sebenar saya kepada Ibu tercinta, di ambang Hari Raya 2008.


Wahai bonda tercinta…
dengarlah akan kata kata ini.
Dan hayatilah dengan perlahan membaca agar terperilah maksudnya.
Adapun sempena lebaran yang mulia, sudilah kiranya bonda mendengarkan luahan rasa anakanda yang dizahirkan seikhlas hati ini.
Kecuali Tuhanku dan Rasulnya maka tiadalah yang menyamai
kasih terhadap bonda dengan kasih yang lain, tiadalah serupa
sayang terhadap dirimu bonda, dengan sayang yang lain.

Bondalah dambaan seluruh jiwa raga. Bondalah lambang kasih abadi sezaman.
Aduhai bonda, selagi anakanda bernafas, anankanda menyanjung tinggi setiap pengorbanan yang telah dicurahkan bonda dalam susah dan senang.
Setiap titisan susu bonda yang mengalir di tubuh anakanda
tiada nilainya dengan segunung intan berlian. Harumnya budimu bonda, bak
wanginya selautan kasturi. Dan curahan kasih mu tak mengenal masa dan cuaca.
Penat lelahmu tidak dikira, bagi memberikan anakanda yang sebaiknya.

Sedetik bonda berduka, hati anakanda lara berduka, dan tangisan anakanda tidaklah bonda ketahui. Sesaat bonda bermuram durja, jiwa anakanda merana sayu. Segenap naluri anakanda, seluruhperhatian anakanda, sesungguhnya tinggi buat bonda sentiasa. Untuk bonda, anakanda mendoakan keberkatan rahmat dan cahaya Allah mencurah sebesar langit.

Adapun bonda tersayang, tiada duanya ibuku di dunia ini. Tiada yang sama
dengan jasa bonda membesarkan anakanda. Tiada yang serupa dengan
keluhuran bonda membelai anakanda sepanjang usia. Kasihmu bonda tetap
kekal menyerikan dan mencerahkan hidup anakanda yang tidak seberapa.
Kasih anakanda tiadalah berkurang dari saat anakanda dilahirkan sehingga kini dan hingga ke akhir nanti.

Maka datangnya warkah ini
Sempena kehadiran cahaya Aidilfitri di Oktober 2008
Apa yang anakanda tidak terkata dimulut, maka puaslah rasanya dengan tulisan ini
Selagi hayat dikandung badan, kasih anakanda menemani doa mustajab untuk bonda
agar terbela hidup kita di dunia fana ini dan selepasnya
agar kata-kata ini sentiasa dijadikan azimat bonda
Lambang mercu kasih anakanda
Selamat Hari Raya Adilfitri bonda
Salam salawat kepada baginda Rasul, kekasih Tuhan Maha Esa, penyeri hidup kita,
terpancarlah ampunan Allah kepada kita sentiasa
Maka ampunkanlah Bonda akan dosa anakanda
di Aidilfitri yang mulia...

Anakanda,

Shali


Tuesday, September 2, 2008

Hikayat Ramadan

Bila membicarakan tentang Kesultanan Melayu, kita tidak dapat pisahkan dengan Islam. Banyak bukti menunjukkan bahawa Islam menjadi tunjang penting menyatupadukan masyarakat Melayu ketika itu. Di antaranya:

Batu Bersurat Terengganu
Ia dianggarkan telah berusia lebih kurang 700 tahun ini merupakan batu bersurat yang mempunyai ukiran yang paling tua dan tulisan Jawi yang pertama ditemui di Malaysia. Ia membuktikan Islam telah sampai ke Terengganu sebelum 1326 atau 1386. Batu ini ditemui separuh tenggelam selepas banjir surut di tebing Sungai Tersat di Kuala Berang pada 1899. Isi teks batu bersurat ini mengenai undang-undang seorang raja. Catatan yang terkandung pada batu ini menyebut Islam sebagai agama rasmi dan menerangkan hukum-hukum Islam tentang maksiat dan segala kemungkaran. Catatan ini dipercayai sebagai bukti kedatangan agama Islam di Terengganu pada tahun 1303.

Pembunuhan Sultan Syahid di Melaka
Iskandar Shah mangkat pada tahun 1424
dan diwarisi oleh anaknya, Sri Maharaja, yang mengambil gelaran "Sultan Muhammad Shah" (1424-1444). Pada kemangkatannya dalam tahun 1444, beliau diganti oleh putera bongsunya, Raja Ibrahim. Raja Ibrahim yang kurang menitikberatkan kebajikan penduduk Islam kemudian dibunuh dan dimakamkan dengan gelaran "Sultan Abu Syahid".

Raja Kassim (kekanda Raja Ibrahim) menaiki tahta pada tahun 1445
dan memakai gelaran "Sultan Muzaffar Shah" (1445-1459). Baginda mengisytiharkan Islam sebagai agama rasmi negeri. Pendakwah-pendakwah Islam dihantar oleh Sultan ke seluruh Kepulauan Melayu seperti Jawa, Borneo dan Filipina. Sebahagian besar penduduk Asia Tenggara pada ketika itu beragama Hindu.

Sempena bulan Ramadan al-Mubarak, sama-samalah kita hayati beberapa riwayat:

Riwayat 1
Do'a malaikat Jibril menjelang Ramadhan " " Ya Allah tolong abaikan puasa ummat
Muhammad, apabila sebelum memasuki bulan Ramadhan dia tidak melakukan hal-hal yang
berikut:

* Tidak memohon maaf terlebih dahulu kepada kedua orang tuanya (jika masih ada);
* Tidak berma'afan terlebih dahulu antara suami isteri;
* Tidak bermaafan terlebih dahulu dengan orang-orang sekitarnya.

Maka Rasulullah pun mengatakan Amiin sebanyak 3 kali.

Riwayat 2
Abu Sa'id Al Khudri ra. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Setiap hari siang dan malam pada bulan Ramadhan, Allah Tabaraka wa Taala membebaskan begitu banyak sekali roh daripada api neraka. Dan pada setiap orang Islam pada setiap hari siang dan malam doanya pasti akan diterima."

Riwayat 3
Ubadah Bin Somit ra. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda pada suatu hari ketika Ramadhan hampir menjelang: "Telah datang kepadamu bulan Ramadhan, di mana Allah melimpah ruahkan di dalamnya dengan keberkatan, menurunkan rahmat, mengampuni dosa-dosa kamu, memakbulkan doa-doa kamu, melihat di atas perlumbaan kamu untuk memperolehi kebaikan yang besar dan berbangga mengenaimu di hadapan malaikat-malaikat. Maka tunjukkanlah kepada Allah Taala kebaikan dari kamu. Sesungguhnya orang yang bernasib malang ialah dia yang dinafikan daripada rahmat Allah pada bulan ini."

Riwayat 4
Abu Hurairah ra. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Terdapat tiga jenis orang yang doa mereka tidak ditolak; doa daripada orang yang berpuasa sehinggalah dia berbuka puasa; imam (penguasa) yang adil, dan orang yang dizalimi yang kerana doanya itu Allah mengangkatnya melepasi awan dan membuka untuknya pintu-pintu langit dan Allah berfirman: "Daku bersumpah demi kemuliaanKu, sesungguhnya Daku pasti menolongmu walaupun pada suatu masa nanti."

Riwayat 5
Ibn Umar ra. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya Allah dan para malaikatNya mengirim rahmat ke atas mereka yang memakan sahur."

Riwayat 6
Abu Hurairah ra. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Barangsiapa berbuka satu hari di siang hari bulan Ramadhan tanpa alasan yang wajar (disegi syariah) atau sakit yang kuat, tidak akan dapat menampung atau mengganti hari tersebut walaupun akan berpuasa sehingga ke akhir hayatnya."

Monday, August 4, 2008

Siapa Sultan di mata Jepun?

Apakah Jepun mengambil alih kuasa Raja Melayu di tiap negeri ketika itu? Adakah Jepun hormati kuasa Sultan? ~ Shali

Dasar Politik Tentera Jepun
Pentadbiran tentera Jepun tidak melucutkan kedudukan raja-raja Melayu tetapi raja-raja Melayu tidak lagi menjadi pemerintah negeri masing-masing. Sebaliknya, mereka hanya menjadi ketua agama Islam dan adat Melayu sahaja. Kedaulatan negeri Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu terancam apabila Jepun menyerahkan negeri-negeri tersebut kepada Siam (Thailand). Istiadat yang sering diadakan di dalam istana tidak diadakan sepanjang pendudukan itu.

DYMM Paduka Seri Sultan Idris Iskandar Shah II (Sultan Perak ke-30, 1963-84)
Baginda telah melanjutkan pelajaran ke Kolej Melayu, Kuala Kangsar awal bulan Disember, 1938. Pada akhir tahun 1941, semasa Jepun datang menyerang dan mengalahkan Malaya, pelajaran Baginda dalam Senior Cambridge di Maktab Melayu itu telah terganggu. Di zaman pendudukan Jepun, Baginda turut menceburkan diri dalam pasukan Giyutai, iaitu pasukan pertahanan yang ditaja oleh Jepun.

Melalui pasukan inilah Baginda telah mengumpul dan menggerakkan pemuda-pemuda Melayu supaya pandai menggunakan senjata api dan mempelajari teknik peperangan gerila, dengan bertopengkan pasukan Giyutai. Baginda dan beberapa orang pemuda Melayu yang lain telah membuat hubungan sulit dengan pasukan gerila yang dikenali sebagai Force 136, di bawah pimpinan Kolonel Dobree untuk menentang Tentera Jepun.

Tunku Abdul Rahman Al-Haj
Pada 9 Disember 1941, Tunku menyorokkan Sultan Abdul Hamid Halim Shah (ayahandanya yang ketika itu berumur 80 tahun), sewaktu pegawai British hendak membawanya ke India. Bagi beliau, tidak wajarlah seseorang Sultan melarikan diri daripada tanah airnya sewaktu peperangan.

Berpakaian Tentera Utara Australia,
Tunku menculik ayahandanya yang ketika itu bersama Syed Abu Bakar al Idrus (Merinyu Kesihatan Kedah) dan menyembunyikannya di Sedim (dekat Kulim, di bawah jagaan Penghulu Wahab). Tunku Badlishah (Pemangku Raja Kedah) tidak berpuas hati dengan tindakan Tunku yang membelakangkannya sebagai bakal pengganti Sultan Kedah.

Pada 19 Disember 1941, Sultan Abdul Hamid dibawa semula ke Alor Star. Jepun
mengiktiraf baginda sebagai Sultan Kedah tetapi pentadbirannya diletakkan di bawah Gabernor dan Tentera Jepun. Sultan Abdul Hamid mangkat pada tahun 1943. Semasa Jepun memerintah, Tunku kekal sebagai Pegawai Jajahan Kulim tetapi ditemani oleh Ohata, seorang pegawai Jepun yang pernah menjadi tukang gunting di pekan Alor Star.

Sunday, August 3, 2008

Nostalgia Zaman Jepun

Gabenor Jepun memeriksa perbarisan kehormat di Istana, Klang (1942)

Tentera Jepun bersama Sultan Badlishah (Kedah) di hadapan Balai Besar; tempat berlangsung adat-istiadat di Alor Star (1941-45).

Sultan Musa Ghiathuddin Riayat Shah (Selangor) dan keluarga baginda bersama tentera Jepun (1942-45)

Pada awal pendudukan Jepun, golongan istana tidak mendapat keistimewaan sepertimana pada zaman British. Namun begitu, Sultan dan Raja kembali menikmati hak-hak mereka menjelang 1943. Rakyat jelata terus dihimpit kesulitan kerana kekurangan makanan dan ancaman kekejaman Jepun. Namun pada 1943, diadakan juga pertandingan bolasepak peringkat Daerah Kulim yang dihadiri oleh Tunku Abdul Rahman (ketika itu Pegawai Daerah).

Kredit foto : MALAYSIA - A Pictorial History 1400-2004
Penerbit : Editions Didier Millet dgn kerjasama Arkib Negara Malaysia & The New Straits Times Press (2005)
Penulis : Wendy Khadijah Moore

Friday, April 11, 2008

Di Sebalik Ilham...









Pokok Melaka dan gugusan buahnya yg dikatakan sedap dibuat jeruk.









Misteri kehilangan keris-keris dan senjata Portugis di Muzium Sejarah Melaka masih belum terbongkar. Siapakah dalang di sebalik 'kehilangan' tersebut? Kenapa kita tiada dapat menjaga khazanah yg dipusakai turun-temurun ini?

Episod pelanduk menerajang anjing2 milik Parameswara,
pemerintah yg membuka Melaka. Inilah kisah yg 'memulakan' sebuah
Kesultanan yg gemilang selama 100 tahun.

Kenaikan pembesar atau kerabat DiRaja pada zaman dahulu.
Tentu sukar untuk mengimbangi tubuh bila dijulang menuruni lembah
atau tika mendaki di celah tebing curam.

Sungguhlah rupawan gadis-gadis tatkala itu, sehinggakan
pahlawan sanggup bermati-matian kerana mereka,
demi mempertahankan jajahan. Busana yg mempesonakan dan
tiadalah taranya keayuan yg cukup mengasyikkan sesiapa saja...

Thursday, March 27, 2008

Kajian untuk Novel


Dalam usaha menghasilkan novel yg benar2 menarik, Shali & saya melakukan banyak research. Kami tidak hanya menghadkan kepada internet tetapi juga buku2 & jurnal sejarah yg dipinjam dari Perpustakaan Negara, Institut Terjemahan Negara atau dibeli serta difotostat (seluruh buku, bila perlu). Kami juga mengadakan temubual dgn wartawan, tokoh2 atau penggiat sejarah (terutama dari Yayasan Warisan Johor) serta orang2 tertentu yg boleh membantu kami secara langsung atau sebaliknya.

Buku ini adalah berkenaan Sir Stamford Raffles karya Richard Mann. Ia mengisahkan kehidupan Raffles (6 Julai, 1781 - 5 Julai, 1826). Beliau terpaksa berhenti sekolah pada usia 14 kerana tidak cukup wang perbelanjaan. Selepas itu, beliau bekerja dengan British East India Company selama 10 tahun sebelum berkhidmat di bawah Gabenor Pulau Pinang pada 1805. Kehidupan beliau penuh dengan cabaran kerana beliau tidak menyokong perniagaan hamba abdi. Tiga daripada empat orang anak2nya meninggal dunia di Sumatera kerana wabak yg tidak diketahui puncanya. Beliau bertanggungjawab membangunkan Singapura dan koleksi botanikal Asia Tenggaranya menjadi khazanah penting. Beliau meninggal dunia kerana pendarahan di dalam otak. Buku ini banyak membantu kami menyiapkan novel epik-sejarah di mana keadaan Tanah Melayu-Jawa pada zaman itu diceritakan dengan begitu terperinci oleh penulisnya.

Prof.Dr.Abdullah Zakaria adalah sebuah nama yg tidak asing lagi di kalangan penggemar sejarah. Beliau menghasilkan banyak jurnal dan buku2 berkenaan tokoh sejarawan dan peristiwa2 menarik yg selama ini tersimpan. Buku ini memuatkan beberapa pucuk surat yg dikirimkan oleh Sultan Hussain Shah (Singapura) kepada Temenggung Tun Daeng Ibrahim (Seri Maharaja Johor). Juga terdapat banyak bahasa lama yg digunakan secara meluas di istana pada zaman itu. Ia sebuah buku yg sangat menarik dan mengkagumkan.

Tuesday, February 26, 2008

Penjelasan utk Yani

Berkenaan persoalan tentang Sistem Beraja di Perak Darul Ridzuan, sila perhatikan di bawah. Amalan ini sudah berbeza kini. Bakal pengganti Sultan yg memerintah sekarang adalah puteranya (Raja Muda).

Pemilihan Ketua-Ketua Negeri Beraja
Negeri Sembilan Darul Khusus
Yang Di Pertuan Besar dipilih oleh lima orang pembesar negeri iaitu Undang Sungai Ujung, Undang Jelebu, Undang Johol, Undang Rembau dan Tuanku Besar Tampin
Perak Darul Ridzuan
Sultan dipilih secara bergilir-gilir antara ketua tiga buah keluarga iaitu keluarga baginda Sultan, keluarga Raja Muda dan keluarga Raja Di Hilir
Negeri-Negeri Lain
Kebiasaanya Sultan/Raja yang mangkat digantikan oleh anak sulung lelaki baginda seperti Raja Muda/Tengku Mahkota dan pewarisan juga bergantung kepada Lembaga Kesultanan Negeri seperti Majlis Kerajaan Kelantan, Dewan Negara Perak, Jemaah Pangkuan negeri Trengganu dan Jemaah di Raja Johor

Raja/Sultan/Yang Di Pertuan Besar
~ jawatan yang dipegang oleh Raja/Sultan.YDP, berkuasa untuk memerintah mengikut nasihat Menteri Besar/ Ketua Menteri dan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan mengikut perlembagaan negeri
~ dipilih mengikut perlembagaan negeri atau berdasarkan warisan kerajaan
~ saraan baginda di tanggung oleh Kumpulan Wang yang disatukan diperingkat negeri
~ menjalankan tugas dengan budi bicara dalam hal menolak, membenarkan atau menangguh pembubaran DUN
~ meminta supaya diadakan Mesyuarat Majlis Raja-Raja

~ melantik pewaris, Permaisuri, Pemangku Raja atau Jemaah Raja
~ menganugerahkan bintang-bintang

Tugas Raja/Sultan/Yang Di Pertuan Besar
~ melantik Menteri Besar berbangsa Melayu, beragama Islam mengikut nasihat pemimpin parti yang menguasai majoriti Dewan Undangan Negeri
~ bertindak diatas nasihat Menteri Besar dan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri
~ menjalankan tugas Ketua Agama Negeri mengikut nasihat Majlis Agama Negeri
~ merasmikan sidang pertama setiap penggal Dewan Undangan Negeri dengan memberi titah ucapan di Raja
~ memanggil dan menangguh dewan persidangan Dewan Undangan Negeri
~ memperkenan rang undang-undang/pindaan perlembagaan negeri yang diluluskan dalam masa 30 hari dengan syarat jika tidak diperkenankan pindaan tetap dianggap lulus selepas 30 hari
~ pindaan memerlukan perkenan Yang Di Pertuan Agong jika raja negeri itu menjadi Yang Di Pertuan Agong
~ apabila ditawarkan sebagai Warta Kerajaan barulah undang-undang berkenaan berkuat kuasa
~ melantik Majistret mengikut nasihat Hakim Besar Malaya
~ melantik Mufti dan Penghulu mengikut nasihat Kerajaan Negeri
~ mempengerusikan mesyuarat Lembaga Pengampunan Negeri dan mengampuni orang-orang yang disabitkan dengan kesalahan di Mahkamah Syariah dan Mahkamah Awam di negeri baginda ~ berkuasa untuk mengampun anak raja dan permaisuri negeri lain

Sekatan Terhadap Kuasa Raja/Sultan/Yang Di Pertuan Besar
~ tidak boleh mengampuni diri sendiri, anak-anak sendiri dan permaisuri sendiri
~ boleh didakwa di Mahkamah Khas Raja-Raja atas sifat peribadi dalam kes jenayah sivil

~ untuk kes jenayah, apabila dibuat dakwaan oleh Jabatan Peguam Negeri, baginda perlu turun takhta kerajaan ketika perbicaraan berlangsung
~ sekiranya dipenjara sehari atau lebih baginda perlu turun takhta
~ apabila disabitkan kesalahan jenayah, baginda hanya boleh diampuni oleh Majlis Raja-Raja
~ tidak boleh memegang apa-apa jawatan yang berpendapatan
~ tidak boleh mengambil bahagian secara aktif di dalam perniagaan dan politik


Penjelasan utk Yani

Berkenaan persoalan tentang Sistem Beraja di Perak Darul Ridzuan, sila perhatikan di bawah. Amalan ini sudah berbeza kini. Bakal pengganti Sultan yg memerintah sekarang adalah puteranya (Raja Muda).

Pemilihan Ketua-Ketua Negeri Beraja
Negeri Sembilan Darul Khusus
Yang Di Pertuan Besar dipilih oleh lima orang pembesar negeri iaitu Undang Sungai Ujung, Undang Jelebu, Undang Johol, Undang Rembau dan Tuanku Besar Tampin
Perak Darul Ridzuan
Sultan dipilih secara bergilir-gilir antara ketua tiga buah keluarga iaitu keluarga baginda Sultan, keluarga Raja Muda dan keluarga Raja Di Hilir
Negeri-Negeri Lain
Kebiasaanya Sultan/Raja yang mangkat digantikan oleh anak sulung lelaki baginda seperti Raja Muda/Tengku Mahkota dan pewarisan juga bergantung kepada Lembaga Kesultanan Negeri seperti Majlis Kerajaan Kelantan, Dewan Negara Perak, Jemaah Pangkuan negeri Trengganu dan Jemaah di Raja Johor

Raja/Sultan/Yang Di Pertuan Besar
~ jawatan yang dipegang oleh Raja/Sultan.YDP, berkuasa untuk memerintah mengikut nasihat Menteri Besar/ Ketua Menteri dan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan mengikut perlembagaan negeri
~ dipilih mengikut perlembagaan negeri atau berdasarkan warisan kerajaan
~ saraan baginda di tanggung oleh Kumpulan Wang yang disatukan diperingkat negeri
~ menjalankan tugas dengan budi bicara dalam hal menolak, membenarkan atau menangguh pembubaran DUN
~ meminta supaya diadakan Mesyuarat Majlis Raja-Raja

~ melantik pewaris, Permaisuri, Pemangku Raja atau Jemaah Raja
~ menganugerahkan bintang-bintang

Tugas Raja/Sultan/Yang Di Pertuan Besar
~ melantik Menteri Besar berbangsa Melayu, beragama Islam mengikut nasihat pemimpin parti yang menguasai majoriti Dewan Undangan Negeri
~ bertindak diatas nasihat Menteri Besar dan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri
~ menjalankan tugas Ketua Agama Negeri mengikut nasihat Majlis Agama Negeri
~ merasmikan sidang pertama setiap penggal Dewan Undangan Negeri dengan memberi titah ucapan di Raja
~ memanggil dan menangguh dewan persidangan Dewan Undangan Negeri
~ memperkenan rang undang-undang/pindaan perlembagaan negeri yang diluluskan dalam masa 30 hari dengan syarat jika tidak diperkenankan pindaan tetap dianggap lulus selepas 30 hari
~ pindaan memerlukan perkenan Yang Di Pertuan Agong jika raja negeri itu menjadi Yang Di Pertuan Agong
~ apabila ditawarkan sebagai Warta Kerajaan barulah undang-undang berkenaan berkuat kuasa
~ melantik Majistret mengikut nasihat Hakim Besar Malaya
~ melantik Mufti dan Penghulu mengikut nasihat Kerajaan Negeri
~ mempengerusikan mesyuarat Lembaga Pengampunan Negeri dan mengampuni orang-orang yang disabitkan dengan kesalahan di Mahkamah Syariah dan Mahkamah Awam di negeri baginda ~ berkuasa untuk mengampun anak raja dan permaisuri negeri lain

Sekatan Terhadap Kuasa Raja/Sultan/Yang Di Pertuan Besar
~ tidak boleh mengampuni diri sendiri, anak-anak sendiri dan permaisuri sendiri
~ boleh didakwa di Mahkamah Khas Raja-Raja atas sifat peribadi dalam kes jenayah sivil

~ untuk kes jenayah, apabila dibuat dakwaan oleh Jabatan Peguam Negeri, baginda perlu turun takhta kerajaan ketika perbicaraan berlangsung
~ sekiranya dipenjara sehari atau lebih baginda perlu turun takhta
~ apabila disabitkan kesalahan jenayah, baginda hanya boleh diampuni oleh Majlis Raja-Raja
~ tidak boleh memegang apa-apa jawatan yang berpendapatan
~ tidak boleh mengambil bahagian secara aktif di dalam perniagaan dan politik


Sunday, February 24, 2008

499 tahun lalu

September 1, 1509. Diego Lopez de Sequiera tiba dari Portugal dengan 5 buah kapal. Orang Melayu memanggil mereka 'Bengali Putih'. Oleh kerana desakan peniaga India Muslim dan berita dari Goa bahawa Portugis zalim terhadap orang-orang Islam, di atas titah Sultan Mahmud Shah, orang-orang Melayu menyerang kapal-kapal tersebut. Namun begitu, tiga buah kapal Portugis berjaya belayar kembali ke Goa. Seramai 20 orang Portugis ditawan oleh orang Melaka. Salah seorang yg berjaya melarikan diri ialah Ferdinand Magellan, yg akhirnya menjadi orang pertama mengelilingi dunia.

 
Original Template By : uniQue  |    Modified and Maintained By : Intydez