Monday, October 13, 2008

Warkah untuk Bonda di Aidilfitri



Kedaulatan Melayu hadir daripada berdaulatnya Agama Allah yang mengalir dalam darah mereka, diserikan dengan adat budaya yang amat halus dan indah dan cantik. Di Aidilfitri, berpantang Melayu tidak memohon maaf daripada Bonda dan Ayahanda. Saya amat berterima kasih kepada Zai yang telah menukilkan deraf warkah saya kepada Ibu yang tercinta di Aidilfitri tahun ini. Kandungannya seolah terasa, isinya menusuk jiwa dan benar, dan seperti sepucuk warkah kepada sekian kaum Ibu di nusantara Melayu. Terima kasih Norzailina, penulis kreatif wanita Melayu yang disegani kerana sudi mengukir ucapan kasih kepada seorang ibu. Warkah ini adalah warkah sebenar saya kepada Ibu tercinta, di ambang Hari Raya 2008.


Wahai bonda tercinta…
dengarlah akan kata kata ini.
Dan hayatilah dengan perlahan membaca agar terperilah maksudnya.
Adapun sempena lebaran yang mulia, sudilah kiranya bonda mendengarkan luahan rasa anakanda yang dizahirkan seikhlas hati ini.
Kecuali Tuhanku dan Rasulnya maka tiadalah yang menyamai
kasih terhadap bonda dengan kasih yang lain, tiadalah serupa
sayang terhadap dirimu bonda, dengan sayang yang lain.

Bondalah dambaan seluruh jiwa raga. Bondalah lambang kasih abadi sezaman.
Aduhai bonda, selagi anakanda bernafas, anankanda menyanjung tinggi setiap pengorbanan yang telah dicurahkan bonda dalam susah dan senang.
Setiap titisan susu bonda yang mengalir di tubuh anakanda
tiada nilainya dengan segunung intan berlian. Harumnya budimu bonda, bak
wanginya selautan kasturi. Dan curahan kasih mu tak mengenal masa dan cuaca.
Penat lelahmu tidak dikira, bagi memberikan anakanda yang sebaiknya.

Sedetik bonda berduka, hati anakanda lara berduka, dan tangisan anakanda tidaklah bonda ketahui. Sesaat bonda bermuram durja, jiwa anakanda merana sayu. Segenap naluri anakanda, seluruhperhatian anakanda, sesungguhnya tinggi buat bonda sentiasa. Untuk bonda, anakanda mendoakan keberkatan rahmat dan cahaya Allah mencurah sebesar langit.

Adapun bonda tersayang, tiada duanya ibuku di dunia ini. Tiada yang sama
dengan jasa bonda membesarkan anakanda. Tiada yang serupa dengan
keluhuran bonda membelai anakanda sepanjang usia. Kasihmu bonda tetap
kekal menyerikan dan mencerahkan hidup anakanda yang tidak seberapa.
Kasih anakanda tiadalah berkurang dari saat anakanda dilahirkan sehingga kini dan hingga ke akhir nanti.

Maka datangnya warkah ini
Sempena kehadiran cahaya Aidilfitri di Oktober 2008
Apa yang anakanda tidak terkata dimulut, maka puaslah rasanya dengan tulisan ini
Selagi hayat dikandung badan, kasih anakanda menemani doa mustajab untuk bonda
agar terbela hidup kita di dunia fana ini dan selepasnya
agar kata-kata ini sentiasa dijadikan azimat bonda
Lambang mercu kasih anakanda
Selamat Hari Raya Adilfitri bonda
Salam salawat kepada baginda Rasul, kekasih Tuhan Maha Esa, penyeri hidup kita,
terpancarlah ampunan Allah kepada kita sentiasa
Maka ampunkanlah Bonda akan dosa anakanda
di Aidilfitri yang mulia...

Anakanda,

Shali


No comments:

 
Original Template By : uniQue  |    Modified and Maintained By : Intydez