Friday, February 4, 2011

Tindakan Mesti Diambil

Wakil rakyat PKR itu ditahan kira-kira pukul 11.15 pagi sebaik tiba di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam. Namun, beliau dibebaskan 10 minit kemudian dengan jaminan polis berserta seorang penjamin.

Shuhaimi diperlukan hadir di Mahkamah Sesyen Shah Alam pada pukul 9 pagi Isnin ini untuk didakwa.

Pada 7 Februari ini, rakyat ingin tahu sama ada wujud unsur hasutan atau tidak dalam kes ADUN Sri Muda itu. Semua ini ekoran lebih 20 laporan polis dibuat terhadap Shuhaimi sehingga 17 Januari lalu.

Shuhaimi sebelum ini dikaitkan dengan kontroversi yang mendakwa beliau menghina Sultan Selangor. Unggapan yang mencetus kontroversi ialah "beraja di mata, bersultan di hati" dalam blognya pada 30 Disember 2010.

Shuhaimi dalam blognya didakwa berkata, pelantikan Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri tidak memerlukan perkenan Sultan Selangor sebaliknya di bawah kuasa Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

Shuhaimi menerusi blognya di http://srimuda.blogspot.com/ antara lain menulis: "Setelah menyemak Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959, saya dapati pelantikan Setiausaha Kerajaan Selangor sebagaimana yang diperuntukkan oleh Fasal 52 (1), hendaklah dibuat oleh Suruhanjaya Perkhidmatan yang berkenaan. Fasal tersebut tidak menyatakan perlunya untuk mendapat perkenan Sultan Selangor.

"Rakyat akan menolak sebarang tindakan 'beraja di mata, bersultan di hati' oleh mana-mana pihak yang bertindak sewenang-wenangnya, tidak kira sama ada oleh raja yang berjiwa rakyat atau rakyat yang berjiwa raja."

Kenyataan dalam blog itu jelas menampilkan bukti yang mengandungi elemen hasutan selain menghina dan menggalakkan orang ramai tidak menghormati serta membenci raja-raja Melayu.

Menghasut adalah satu kesalahan yang besar.

Shuhaimi lupa bahawa dirinya serta keluarga bernaung di bawah kekuasaan Sultan Selangor. Shuhaimi juga lupa bahawa dia adalah rakyat kepada Sultan Sharafuddin.

Kalau pepatah mengatakan bahawa "kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan binasa" tetapi dalam isu ini Pensyarah Kanan Jabatan Antropologi dan Sosiologi, Universiti Malaya, Dr. Noor Sulastry Yurni Ahmad berpandangan kerana membelakangkan sejarah dan undang-undang, pasti akan ada pihak menerima habuannya dalam konteks pada hari ini.

Walaupun negara mengamalkan dan memberi kebebasan bersuara kepada rakyat, perlu dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya bukan dimanipulasi untuk kepentingan pihak tertentu.

Menurut beliau, bukan sahaja perlu ambilnya sebagai iktibar tetapi perlu diberi perhatian yang serius kerana isu ini melibatkan pemimpin yang merupakan model kepada masyarakat umum dan ia boleh menjejaskan kesucian perlembagaan dan undang-undang negara sekali gus memberi imej yang tidak baik kepada generasi muda akan datang tentang betapa pentingnya mempertahankan kedaulatan institusi kesultanan Melayu sedia ada.

"Yang penting asal usul dan sejarah negara tidak seharusnya diperlekehkan hanya kerana hendak membawa perubahan kepada demokrasi Malaysia," jelas Panel Penyelidik Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya (UMCEDEL), Universiti Malaya.

Sebagai orang Melayu dan juga ADUN, Shuhaimi tergamak berbuat demikian kepada Sultan Selangor. Kerana mahu tunjuk pandai, akhirnya terlajak kata sukar untuk ditarik semula.

Shuhaimi patut ingat dan hayati seperti prinsip Rukun Negara yang mensyaratkan supaya rakyat taat setia kepada Raja dan Negara.

Agak menghairankan, sebagai anak watan Selangor - sanggup Shuhaimi mencerca Sultan di negerinya sendiri semata-mata kerana politik. Kalau seorang rakyat tidak tahu menghormati Sultannya sendiri, dia tak layak tinggal di Selangor lagi.

Menurut Ahli Jawatankuasa Pusat, Kelab Penyelidikan Politik Malaysia (KPPM), Umar Zain, dalam institusi 'demokrasi perlembagaan beraja' seperti Malaysia perlu ada satu institusi yang menjadi tempat terakhir semua rakyat untuk bernaung.

Raja bukan sahaja untuk kaum Melayu. Oleh itu, institusi tersebut perlu dimartabatkan dan dimuliakan oleh semua rakyat. Penghinaan kepada raja atau sultan tidak boleh diterima.

"Menahan beliau di bawah Akta Hasutan hanyalah tindakan kecil berbanding jika kesalahan dikakukan di Thailand atau negara lain. Nampaknya ADUN tersebut gagal sama sekali memahami peranan institusi kesultanan dan KPPM berpandangan beliau tidak layak mewakili rakyat di kawasannya.

"Dengan itu, pendakwaan terhadap beliau amat difahami dalam usaha mengekang pihak-pihak lain daripada terus memburukkan institusi yang penting kepada semua rakyat," tegas Umar.

Jika sebarang tindakan tidak diambil ke atas wakil rakyat Parti Keadilan Rakyat itu, besar kemungkinan perbuatan tersebut akan dicontohi oleh rakyat lain.

rencana@utusan.com.my

No comments:

 
Original Template By : uniQue  |    Modified and Maintained By : Intydez