Tuesday, March 10, 2009

Catatan Awal - Bhgn 1

Semenanjung Tanah Melayu, bahagian tanah besar Malaysia, telah disebut dalam kesusasteraan India sejak kurun ke-6 lagi. Ia dipanggil Suvarna-dvipa yang dalam bahasa Sanskrit bermakna "Semenanjung Keemasan". Malaya mempunyai barang yang berharga itu yang di sepanjang zaman telah memaksa manusia meninggalkan tempat kediaman mereka yang selesa, untuk berjuang dan terbunuh di tempat-tempat yang luar biasa jauhnya; kerana emas. Emas dan bijih timah adalah barang-barang yang telah menarik orang-orang India, dan pengaruh mereka tidak patut dilupakan.

Memang biasa untuk menganggap Malaya, pada masa lampau dan juga sekarang, sebagai tempat berhenti yang letaknya sama tengah di antara India dan China. Tetapi ini adalah menyembunyikan kepentingan Semenanjung ini yang sebenarnya iaitu kerana emas dan bijih timah.

Memang mungkin bagi seseorang ahli sejarah melihat kapal-kapal India bersedia untuk belayar, dan membayangkan kapal-kapal itu belayar dari pelabuhan di timur India mengikut monsun. Ribut dan taufan di Teluk Benggala akan dialaminya seperti yang dialami oleh ahli-ahli pelayaran 1500 tahun lalu, dan di kawasan angin terang Selat Melaka bolehlah ia belayar dengan tenang seperti dulu.

Penyelidikan Wheatly menunjukkan bahawa sekurang-kurangnya telah wujud 30 buah negeri di Semenanjung Tanah Melayu tetapi tidak ada yang meninggalkan kesan di luar Malaysia, dan amat sedikit yang meninggalkan tanda-tanda penempatan mereka. Hanya daripada catatan dalam rekod-rekod China, Arab atau India yang serba kekurangan, kadangkala mengelirukan dan hampir-hampir sentiasa kabur itu sajalah gambaran yang tidak jelas berkenaan Malaya.

Itu pun tidak tepat kerana catatan yang digunakan untuk Malaya dan pulau-pulau itu adalah catatan daripada ahli-ahli pelayaran, menulis seperti biasanya dibuat, tentang pelabuhan-pelabuhan dan keriangan yang didapati di situ, sedangkan di Malaya, seperti di Kemboja, ekonominya berpusat di daerah pedalaman.

Walaupun catatan paling awal sekali tentang Malaysia telah dibuat oleh Ptolemy dan Alexandria (TM 150), penerangan yang ada pada kita kebanyakannya dari negeri China. Sejak Zaman Han orang-orang China telah mengetahui tentang Asia Tenggara, tetapi kita sendiri masih lagi di peringkat permulaan untuk mendapatkan keterangan itu untuk pengetahuan kita sendiri.

1 comment:

Anonymous said...

boleh terangkan asal usul negeri terengganu dan siapakah Megat Panji Alam..

 
Original Template By : uniQue  |    Modified and Maintained By : Intydez