Sunday, November 30, 2008

Pahang dan Acheh

Pemandangan Pekan, ibu negeri Pahang (1896)

Sultan Ahmad dengan rombongan baginda yang mengenakan sutera tenun Pahang, ketika Persidangan Durbar pertama di Kuala Kangsar (1897)

Pada 1614, Sultan Alauddin Riayat Shah III telah dibenarkan oleh Sultan Iskandar Muda Mahkota Alam (Raja Acheh) pulang ke Johor. Kebenaran itu diberikan kerana Sultan Johor berjanji:
* akan membantu Acheh melawan orang Portugis
* tidak membenarkan orang Belanda tinggal di Johor

Pada Ogos 1615, Sultan Johor (yang suka berbaik dengan Portugis) telah membuat perjanjian dengan orang Portugis di Melaka untuk menghantar putera baginda (Raja Bujang, Sultan Abdul Jalil Shah III) menduduki takhta kerajaan Pahang sebagai Sultan (bagi menggantikan tempat putera Almarhum Sultan Abdul Ghafur yang dikatakan kejam).

Sebulan kemudian, angkatan perang Acheh mengalahkan Johor dan menawan Sultan. Raja Abdullah (Sultan Abdullah Ma'ayat Shah menjadi pengganti dan baginda berkahwin dengan adinda Sultan Acheh).

Pada 1617, Sultan Acheh menyerang Pahang pula. Raja Bujang lari ke Pulau Lingga dan menetap di sana. Namun Raja Ahmad (ayah mertuanya) dan Raja Mughal (adik iparnya) serta 10,000 rakyat Pahang ditawan dan dibawa ke Acheh. Puteri Kamaliah (puteri diRaja Pahang) kemudian berkahwin dengan Raja Acheh. Puteri Pahang itu termasyhur dalam sejarah Acheh kerana kebijaksanaannya.

Selepas Acheh mengalahkan Pahang, putera Almarhum Sultan Abdul Ghafur kembali berkuasa memerintah Pahang. Baginda membangunkan beberapa buah kedai yang boleh didiami saudagar dengan membayar sewa. Kedai itu tidak jauh dengan kapal. Ramailah pedagang yang berlabuh di situ untuk berniaga.

Mengikut keterangan Baretto de Resende (orang Portugis): Pada 1629, angkatan Sultan Abdul Jalil Shah III (Raja Bujang) telah membantu orang Portugis di Melaka untuk menewaskan serangan Acheh.

Tiga tahun kemudian, Acheh mencadangkan askarnya bersatu dengan Belanda (sebagai angkatan laut) serta Sultan Pahang (tentera darat) menyerang Portugis di Melaka tetapi tidak dilaksanakan. Anehnya, pada 1634, Pahang dan Johor menyebelahi Portugis pula bagi menentang Belanda. Keadaan 'mengelirukan' ini berlarutan buat beberapa lama.

Foto: MALAYSIA - A Pictorial History
(Archipelago Press)

Thursday, November 27, 2008

Askar Timbalan Setia

Pasukan tentera Askar Timbalan Setia Negeri Johor ditubuhkan pada 1885. Ia diberi panji-panji diRaja pada 11 Mei 1916. Ketika penubuhan tersebut, Johor di bawah pemerintahan Sultan Sir Ibrahim Iskandar Al-Masyhur ibni Almarhum Sultan Sir Abu Bakar. Johor adalah negeri yang pertama memiliki pasukan tenteranya sendiri dan dibiayai oleh kerajaan negeri sehingga sekarang.

Ketika ura-ura akan meletuskan Perang Dunia Pertama di Eropah, pentadbir Inggeris mendesak Sultan Sir Ibrahim untuk menerima Penasihat British bagi membantu mentadbir negeri. Pada hakikatnya, ini bermakna baginda kehilangan kebebasan tersebut. Sebagai balasan, Gabenor Negeri-Negeri Selat bersetuju kepada penubuhan satu pasukan Askar Timbalan Setia yang berikrar taat setia kepada Sultan Johor. Ia boleh dikatakan sebagai tentera peribadi.

Kompeni pertama terdiri daripada 60 anak Melayu Johor (anggota askar infantri) dan 20 askar Punjabi (pasukan artileri). Kapten Newland, pegawai Inggeris, dilantik sebagai pemerintah pasukan. Orang Melayu pertama diberikan tauliah sebagai pegawai ialah Kapten Daud bin Sulaiman.

Perang Dunia Pertama

Antara peristiwa bersejarah adalah:

· Mereka menangkap askar-askar India (pasukan 5th Light Infantry di Singapura) pada tahun 1915 semasa mereka merentasi Selat Johor ketika melarikan diri daripada buruan pihak berkuasa British.

· Kontinjen seramai 2 pegawai dan 100 anggota mengawal keselamatan di Berek Tanglin di Singapura.

· Membantu kawalan tawanan perang ke atas tahanan Jerman di Singapura.

· Menjaga keselamatan kawasan di Pulau Belakang Mati (kini Pulau Sentosa) hingga akhir perang.

· Mengawal keselamatan laluan perhubungan di kawasan Mersing, Kluang dan Batu Pahat.

Perang Dunia Kedua

· Askar Timbalan Setia Johor tidak dikerahkan oleh Markas Gerakan Tanah Melayu sebagai sebahagian daripada pasukan pertahanan Semenanjung Tanah Melayu.

· Bila Tentera Jepun memasuki Johor Bahru, Askar Timbalan Setia tidak memberikan sebarang tentangan atau terlibat dalam pertempuran menentang mereka.


Tuesday, November 4, 2008

Catatan Norzailina...

Ketari, Bentong, Pahang. Tahun 1944. Kerana isterinya ditimpa penyakit selepas melahirkan, Ho Wah menyerahkan bayi perempuan itu kepada seorang bidan Melayu, Bah bt Itam. Bayi itu adalah ibu saya, Norlia bt Abdullah. Kini pada usia 63, dia dipertemukan kembali dengan kakaknya, Ho Ah Yook, 75, setelah terpisah selama hampir 58 tahun!

Pertemuan bersejarah diadakan di rumah kenalan Ah Yook di Ketari jam 10.00 pagi, 17 Nov 2007. Tiada air mata dititiskan, hanya senyuman gembira dan rasa puas hati dapat berdakapan setelah sekian lama terpisah oleh jarak dan waktu.

Semuanya bermula kerana Ah Yook cuba menjejaki ibu melalui rakan2nya (Kam Moi & Ah Mooi) yg masih tinggal di Ketari. Meskipun Ah Yook tidak fasih berbahasa Malaysia, perbualan kami (yg dialih bahasa oleh Ah Mooi) sungguh mesra dan menghiburkan.

Kata Ah Yook, wajah ibu saya mirip mendiang ayah mereka, Ho Wah (yg telah meninggal dunia di Ampang, rumah anak sulongnya, Ho Yin Fatt, 80). Banyak kisah keluarga ibu yang masih diingati oleh Ah Yook kerana usianya 12 tahun ketika ibu dilahirkan.

Waktu itu memang sukar kerana askar-askarJepun membunuh ramai orang-orang Cina. Ibu juga mempunyai seorang lagi kakak yg telah diserahkan kepada sebuah keluarga Cina (kini tidak tahu di mana dia berada). Sungguh sayu melihat dua orang wanita berpegangan tangan setelah sekian lama tidak bersua. Amat tersentuh melihat dua org wanita berlainan agama berdakapan kerana mereka lahir dari ayah dan ibu yg sama!

Setiap gerak geri ibu dengan kakaknya hampir serupa. Malah cara mereka senyum pun sama. Meskipun mereka dibesarkan dalam keluarga berbeza, pertalian darah itu tetap ada. Dan buat pertama kalinya, saya dapat memanggil 'Tai Yee' (mak cik) pada ibu saudara Cina saya!




 
Original Template By : uniQue  |    Modified and Maintained By : Intydez