Thursday, November 11, 2010

Kontrak sosial perlu dipatuhi rakyat: Nazri

"Di Malaysia terma ''kontrak sosial'' merupakan hasil daripada kompromi etnik Melayu, Cina dan India mengenai hak bersama dan masing-masing, kedudukan istimewa dan persetujuan antara raja-raja Melayu dengan British bagi mewujudkan suatu kerajaan dengan sistem demokrasi, beraja, bersekutu serta tidak teokratik," katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Nurul Izzah Anwar (PKR-Lembah Pantai) yang ingin tahu sama ada kontrak sosial yang wujud ketika merdeka diiktiraf oleh kerajaan sebagai satu kontrak rasmi dan sama ada Rukun Negara dianggap sebagai satu kontrak untuk rakyat.

Mohamed Nazri berkata Rukun Negara juga telah diwartakan sebagai hebahan kepada rakyat bahawa ia merupakan satu kontrak yang mengikat dan perlu dipatuhi oleh semua.

"Tujuan utama Rukun Negara diwujudkan adalah untuk mengembalikan keharmonian serta kesejahteraan rakyat berbilang bangsa dan agama serta berperanan memperkukuh semangat serta membentuk identiti nasional warganegara sebagai satu bangsa Malaysia," katanya.

Beliau berkata Rukun Negara adalah ideologi kebangsaan Malaysia yang telah diisytiharkan oleh Yang di-Pertuan Agong pada 31 Ogos 1970.
Selepas Rukun Negara diisytiharkan, kerajaan juga telah mengambil langkah meminda Perlembagaan Persekutuan melalui Akta Perlembagaan (Pindaan) 1971 bagi memasukkan prinsip-prinsip yang terkandung dalam Rukun Negara ke dalam Perlembagaan Persekutuan, katanya. - BERNAMA

www.bharian.com.my

Saturday, July 18, 2009

Sekadar Renungan

Dr. A.H.Johns dalam bukunya 'Malay Sufism' menggambarkan kemeriahan dan kegemilangan negeri Melaka:

"Dengan berkembangnya negeri Melaka sebagai sebuah pusat perdagangan Islam, dunia Melayu telah dibawa ke dalam arus perniagaan yang merentasi Asia Selatan, dari Mesir, dunia Arab, Teluk Parsi, Hindia Timur, Hindia Barat, dan Gugusan Kepulauan Timur dan China. Tambahan pula, Melaka di era kemuncaknya amat penting di dalam sistem perdagangan yang luas sekaligus merupakan kota antarabangsa. Ianya juga merupakan sebuah Kuasa Politik Utama Serantau dan pusat keagamaan bagi masyarakat Islam yang sedang berkembang ketika itu yang menjadi tumpuan utama bagi tujuan pengajian dan pendidikan bagi kaum muslim."

Hubungan erat yang terjalin di antara ulama dan umara ketika itu menjadikan Melaka sebagai pusat penyebaran agama Islam dan pusat ilmu. Ini dijelaskan oleh sarjana sejarah Muhammad Abu Bakar di dalam bukunya 'Ulama Terengganu - Suatu Sorotan'.

"Semenjak zaman Melaka, dan di sepanjang sejarah Islam di Tanah Melayu, ulama pula sering mendekati istana atau pusat kuasa, dan di sana atau dari sana, mereka bergerak memainkan peranan mereka. Di istana Sultan Melaka, ulama seperti Maulana Abu Bakar, Saiyid Abdul Aziz dan Maulana Yusuf, bukan sahaja muncul sebagai guru tetapi juga penasihat kepada pemerintah, satu kedudukan strategis yang membolehkan mereka berfungsi dengan lebih berkesan dalam skima pengislaman negara dan masyarakat...

...Masyarakat yang dipayungi oleh kekuasaan sultan atau raja, dan insaf tentang keperluan mentaati dan mematuhi ulil amri, tidak berada dalam keadaan berkonflik dengan ulama yang bergerak dan berdamping dengan pemerintah. Hubungan simbiotis antara ulama dan umara jelas sekali mendapat restu dan sokongan rakyat. Kesemua pihak bergerak dan berinteraksi dalam satu sistem yang padu. Walaupun masing-masing hidup berasingan dari segi fizikal, dan bekerja di tempat-tempat yang berlainan pula. Ketika perang dan damai, kesemuanya bertindak sebagai satu kesatuan."

Dipetik daripada buku 'Menyingkap Misteri Pulau Besar' oleh Ana Faqir.

Friday, May 22, 2009

Catatan Awal - Bhgn.2

Salah satu daripada negara Laut Selatan yang ternama (selepas kejatuhan Empayar Han) ialah Tun Sun, terletak di utara Semenanjung. Pada kurun ke-3, lebih daripada 500 ahli-ahli perniagaan India dan lebih daripada 1,000 orang Brahman tinggal di situ (kawasan berlengkar mengikut lebar Semenanjung ke pantai barat).

Ketua-ketua menterinya terdiri daripada Brahman, dan negeri itu sudah dipengaruhi sepenuhnya oleh adat-adat dan peraturan India. Cara 'mengkebumikan' orang mati seperti yang diamalkan oleh orang Parsee iaitu membiarkan mayat-mayat dimakan oleh burung yang memakan daging adalah biasa.

Orang-orang China menceritakan, sepuluh buah kereta lembu berjalan setiap hari mengelilingi bandar-bandar besar itu sambil menaburkan bunga-bunga yang harum baunya. Ada orang mengakui bahawa pantai timur hari ini telah mempunyai satu kesenian yang tidak dipunyai oleh pantai barat, dan apa yang menariknya, Tun Sun adalah negara takluk Funan, di Kemboja.

Satu lagi negeri di mana unsur India kuat ialah Ch'ih-Tu (Tanah Merah) di utara Semenanjung, mungkin di ulu Sungai Kelantan dan dipengaruhi oleh Funan, selepas itu Kemboja tetapi penduduknya adalah orang Malaysia.

Lawatan rombongan China dalam kurun ke-7 melapurkan adanya penyembahan Buddha dan wujudnya ramai Brahman. Malah dua orang Brahman membawa ketua angkatan menemui raja, yang kemudiannya mengatakan kepada ketua itu bahawa Tanah Merah telah menjadi hak negeri China. Telah ada cerita menarik tentang gadis-gadis penari yang mempesonakan, bekas minuman dari emas dan kekayaan, namun begitu kekuasaan China tidaklah pernah dikenakan ke atasnya.

Buku Undang-undang

Buku 'Pentadbiran Undang-undang Islam di Malaysia' ini merupakan koleksi penulisan tokoh perundangan negara iaitu Allahyarhan Prof. Tan Sri Ahmad Mohamed Ibrahim.

Buku ini dibahagikan kepada lima (5) bahagian. Setiap bahagian memaparkan idea, ulasan, komentar dan saranan penulis terhadap tajuk yang diperkatakan.


Kandungan buku ini:
(1) Pentadbiran Undang-undang Islam di Malaysia
(2) Pentadbiran Mahkamah Syariah di Malaysia
(3) Undang-undang Keluarga Islam
(4) Undang-undang Jenayah Islam dan Acara
(5) Sistem Undang-undang dan Social Order di Malaysia.

Terbitan : 1997
Harga : RM30.00
Jumlah mukasurat : 732

 
Original Template By : uniQue  |    Modified and Maintained By : Intydez