Monday, May 16, 2011

Esplorasi di Selat Melaka

Menurut Khamis, RM3 juta mencakupi perbelanjaan untuk memulihkan artifak yang ditemui. Namun harta itu bukan sesuatu yang boleh diselamatkan oleh sesiapa saja, ia perlu mengikuti ketetapan Akta Warisan Negara 2005. “Ia tidak semudah itu kerana ia berkait dengan kepentingan nasional.

Pertama, anda perlu mendapat persetujuan daripada jabatan untuk mengadakan tinjauan. Sesudah menyiapkan laporan, anda perlu keizinan untuk memunggah barang itu. Itulah prosedur. Setiap permohonan untuk meninjau dan mengeluarkan mengambil masa sebulan untuk diluluskan.”

Itu bermakna lebih banyak wang dan masa. Ia pelaburan yang berisiko tinggi dan kebanyakan orang akan memikirkan hal ini dua kali sebelum menawarkan diri. Dalam pada itu, khazanah seperti porselin biru dan putih China, barangan brass dan syiling, musnah, dicuri atau menjadi tidak bernilai.

”Itulah sebabnya tiada operasi mencari sejak 10 tahun lalu. Siapa tahu apa yang akan mereka temui di sana... Maksud saya, adakah akan bernilai?” soal Thong, yang berkecimpung dalam industri maritim. Katanya, 25 peratus daripada khazanah yang dijumpai akan diserahkan kepada pencari dan selebihnya dibahagi antara kerajaan negeri dan persekutuan. Tetapi kata Thong, walau pun 80 peratus diberikan kepada pencari, risiko tetap tinggi.

“Ini bukan hanya soal adventur dan membawa pulang harta yang berkilauan. Ini melibatkan kos, peralatan, tenaga dan pakar. Dan jangan lupa tentang overheads. Kosnya bukan setakat RM3 juta tetapi mungkin mencecah di antara RM5 hingga RM6 juta! Kemungkinan besar, tiada sesiapa yang sanggup dalam sedekad ni,” sahut Thong yang terlibat dalam industri ini selama 30 tahun. Katanya lagi, 10 tahun lalu, kecurian daripada kapal karam selalu berlaku. Kini, tidak lagi.
“Kemungkinan besar, tidak banyak artifak yang masih ada. Pencuri telah beralih kepada lautan lain. Saya rasa ini memberi bayangan kepada syarikat pencari harta karun bahawa usaha mereka sia-sia sahaja.”

Satu-satunya operasi ialah pada tahun 2004 di persisiran Limbungan. Serpihan pasu yang berasal dari China dan Vietnam diselamatkan oleh penyelam Angkatan Tentera Laut di-Raja Malaysia.
Di antara kawasan tersebut adalah berdekatan Tanjung Tuan (Middleburg, karam pada 16 Ogos, 1606), Permatang Rumput (Overduin, 27 Jun, 1784), Tanjung Pinang (Franeker, 18 Jan, 1642), Tanjung Kling (Wieringen, 2 Jun, 1636) dan Pulau Undan (Bambeek, 12 Jan, 1702).
“Saya tidak dapat menjelaskan dengan lebih lanjut kerana ia di bawah Jabatan Warisan Negara. Semua dokumen yang ada kaitan dengan penemuan, misalnya kejadian kapal karam di pantai Tanjung Tuan, disimpan oleh jabatan. Lebih sebulan lalu, Perzim membuat permohonan untuk melakukan tinjauan di kawasan sekitar Tanjung Tuan. Tapi, kami diberitahu bahawa Jabatan Warisan Negara juga berminat membuat perkara yang sama, jadi kami menarik diri,” ujar Khamis.

Seorang pegawai pelancongan, yang enggan namanya dikenali berkata, sejak kebelakangan ini, artifak menjadi sasaran pencuri asing yang berlagak seperti pelancong. Katanya, kerajaan negeri sepatutnya menggunakan khidmat “pencuri harta karun’ profesional itu dalam usaha pencarian.
“Mereka adalah pakar. Kita sepatutnya melonggarkan peraturan, hapuskan ‘red tape’ dan memudahkan sesiapa saja yang mempunyai kemahiran melaksanakannya. Nampak seperti mereka sajalah yang benar-benar berminat dalam hal ini.”

Pada waktu yang sama, katanya, kerajaan negeri patut ‘berfikir di luar kotak’ selain daripada hanya menyelamatkan artifak itu. Katanya, kapal karam boleh membawa keuntungan jangka panjang kepada negeri kerana ia boleh menjadi tapak menyelam bagi pelancong.
“Ubah kawasan kapal karam menjadi monumen supaya pelancong yang kehilangan moyang mereka dapat ‘melawat’. Ya, kita boleh selamatkan beberapa artifak dan menggunakan ia untuk menambah hasil pendapatan bagi negeri. Juga, kawasan menyelam bagi pelancong. Inilah salah satu cara yang wajar.”
Thong percaya ada beratus-ratus kapal yang tenggelam, bukan cuma 13, terkubur di pesisiran pantai Melaka. Katanya, selain beratus kapal perang Belanda dan Portugis, Admiral Cheng Ho telah diiringi oleh 300 buah kapal ketika eksplorasinya di Kepulauan Nusantara. “Laut Melaka hanya sedalam 100m. Tetapi dasar laut berbatu dari Pulau Upeh dan Tanjung Tuan. Kebanyakan kapal tenggelam kerana kerosakan pada lambung.”

Menurut Khamis, setakat ini tiada laporan mengenai bongkah emas atau ketulan diperolehi dari kapal yang karam. Ini mungkin menjadi alasan kenapa pencari harta karun enggan menerima tawaran bernilai berbilion ringgit itu. Sungguh pun ada pelbagai cerita, kami masih tidak menerima laporan terdapat emas di dalam kapal yang karam. Yang ada hanya pinggan, cawan dan teko.”

Teks diterjemahkan drpd www.nst.com.my

Wednesday, April 6, 2011

WIBAWA HIKAYAT JOHOR

Salah satu sebab berlakunya percanggahan itu dikatakan kerana motif pengarang Hikayat Johor, Datuk Mohd Said Sulaiman adalah untuk mempertahankan kedudukan dan integriti keluarga Kesultanan Johor.

Lalu bukan suatu yang menghairankan apabila Hikayat Johor menggambarkan Temenggung Ibrahim dan Temenggung Abu Bakar bersikap pemurah dan baik hati kepada Sultan Ali, lebih-lebih lagi dalam perkara berkaitan bantuan kewangan. “Sebagai contoh Hikayat Johor menggambarkan peristiwa Perjanjian Johor 1953 yang memberi hak kedaulatan Johor kepada keluarga Temenggung Ibrahim atas kerelaan hati waris Sultan Hussien sendiri tanpa sebarang konflik sebelumnya.

“Sebaliknya, kita mengetahui perkara ini melalui satu proses konflik politik yang panjang dan Temenggung Ibrahim sendiri sememangnya bercita-cita untuk mempunyai kuasa mutlak di Johor,” jelasnya.

Menurut catatan Tawarikh Datuk Bentara Luar oleh Datuk Mohamad Salleh Perang, apabila perjanjian 1855 ditandatangani, timbul perbalahan antara Temenggung Ibrahim dengan Sultan Ali kerana Temenggung tidak berpuas hati apabila hasil Johor perlu dibahagikan kepada sultan itu.

Perbezaan itu berlaku kerana persekitaran tempat tinggal yang berbeza di antara kedua-dua penulis iaitu pengarang Hikayat Johor menonjolkan dimensi dalaman istana sedangkan Tawarikh Datuk Bentara Luar menonjolkan dimensi luaran istana.

Dr A Rahman berkata, perbandingan Hikayat Johor dan Hikayat Pahang pula boleh dilakukan kerana kedua-dua teks terbabit dengan ditulis dengan tujuan sama, iaitu propaganda bagi pihak istana masing-masing.

“Kedua-dua hikayat ini sering menonjolkan unsur pertentangan daripada segi penceritaan kepada sesuatu peristiwa yang sama dan boleh dilihat dalam peristiwa membabitkan hubungan dua hala Johor dan Pahang,” ujarnya.

Dalam aspek terbabit, perkara pertama yang boleh diperhatikan ialah pembabitan tentera Johor dalam Perang Pahang (1857-1863) di mana Hikayat Pahang menceritakan pembabitan tentera Johor membantu Bendahara Tun Tahir melawan Wan Ahmad.

Penulis hikayat itu mendakwa pada akhir peperangan, ramai orang Pahang menyebelahi Wan Ahmad disebabkan tidak berpuas hati dengan pembabitan tentera Johor yang kebanyakannya ialah orang Bugis.

Sebaliknya pengarang Hikayat Johor tidak memberikan tumpuan yang eksklusif mengenai perkembangan peperangan itu dan menafikan pembabitan tentera Johor secara keseluruhan kecuali pada peringkat akhir peperangan.

“Itupun Hikayat Johor mendakwa tentera Johor tidak sempat membantu Wan Mutahir kerana sudah kalah dan tiada faedah untuk membantu beliau,” katanya.

Sumber: bharian.com.my

Friday, February 4, 2011

Tindakan Mesti Diambil

Wakil rakyat PKR itu ditahan kira-kira pukul 11.15 pagi sebaik tiba di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam. Namun, beliau dibebaskan 10 minit kemudian dengan jaminan polis berserta seorang penjamin.

Shuhaimi diperlukan hadir di Mahkamah Sesyen Shah Alam pada pukul 9 pagi Isnin ini untuk didakwa.

Pada 7 Februari ini, rakyat ingin tahu sama ada wujud unsur hasutan atau tidak dalam kes ADUN Sri Muda itu. Semua ini ekoran lebih 20 laporan polis dibuat terhadap Shuhaimi sehingga 17 Januari lalu.

Shuhaimi sebelum ini dikaitkan dengan kontroversi yang mendakwa beliau menghina Sultan Selangor. Unggapan yang mencetus kontroversi ialah "beraja di mata, bersultan di hati" dalam blognya pada 30 Disember 2010.

Shuhaimi dalam blognya didakwa berkata, pelantikan Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri tidak memerlukan perkenan Sultan Selangor sebaliknya di bawah kuasa Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

Shuhaimi menerusi blognya di http://srimuda.blogspot.com/ antara lain menulis: "Setelah menyemak Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959, saya dapati pelantikan Setiausaha Kerajaan Selangor sebagaimana yang diperuntukkan oleh Fasal 52 (1), hendaklah dibuat oleh Suruhanjaya Perkhidmatan yang berkenaan. Fasal tersebut tidak menyatakan perlunya untuk mendapat perkenan Sultan Selangor.

"Rakyat akan menolak sebarang tindakan 'beraja di mata, bersultan di hati' oleh mana-mana pihak yang bertindak sewenang-wenangnya, tidak kira sama ada oleh raja yang berjiwa rakyat atau rakyat yang berjiwa raja."

Kenyataan dalam blog itu jelas menampilkan bukti yang mengandungi elemen hasutan selain menghina dan menggalakkan orang ramai tidak menghormati serta membenci raja-raja Melayu.

Menghasut adalah satu kesalahan yang besar.

Shuhaimi lupa bahawa dirinya serta keluarga bernaung di bawah kekuasaan Sultan Selangor. Shuhaimi juga lupa bahawa dia adalah rakyat kepada Sultan Sharafuddin.

Kalau pepatah mengatakan bahawa "kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan binasa" tetapi dalam isu ini Pensyarah Kanan Jabatan Antropologi dan Sosiologi, Universiti Malaya, Dr. Noor Sulastry Yurni Ahmad berpandangan kerana membelakangkan sejarah dan undang-undang, pasti akan ada pihak menerima habuannya dalam konteks pada hari ini.

Walaupun negara mengamalkan dan memberi kebebasan bersuara kepada rakyat, perlu dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya bukan dimanipulasi untuk kepentingan pihak tertentu.

Menurut beliau, bukan sahaja perlu ambilnya sebagai iktibar tetapi perlu diberi perhatian yang serius kerana isu ini melibatkan pemimpin yang merupakan model kepada masyarakat umum dan ia boleh menjejaskan kesucian perlembagaan dan undang-undang negara sekali gus memberi imej yang tidak baik kepada generasi muda akan datang tentang betapa pentingnya mempertahankan kedaulatan institusi kesultanan Melayu sedia ada.

"Yang penting asal usul dan sejarah negara tidak seharusnya diperlekehkan hanya kerana hendak membawa perubahan kepada demokrasi Malaysia," jelas Panel Penyelidik Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya (UMCEDEL), Universiti Malaya.

Sebagai orang Melayu dan juga ADUN, Shuhaimi tergamak berbuat demikian kepada Sultan Selangor. Kerana mahu tunjuk pandai, akhirnya terlajak kata sukar untuk ditarik semula.

Shuhaimi patut ingat dan hayati seperti prinsip Rukun Negara yang mensyaratkan supaya rakyat taat setia kepada Raja dan Negara.

Agak menghairankan, sebagai anak watan Selangor - sanggup Shuhaimi mencerca Sultan di negerinya sendiri semata-mata kerana politik. Kalau seorang rakyat tidak tahu menghormati Sultannya sendiri, dia tak layak tinggal di Selangor lagi.

Menurut Ahli Jawatankuasa Pusat, Kelab Penyelidikan Politik Malaysia (KPPM), Umar Zain, dalam institusi 'demokrasi perlembagaan beraja' seperti Malaysia perlu ada satu institusi yang menjadi tempat terakhir semua rakyat untuk bernaung.

Raja bukan sahaja untuk kaum Melayu. Oleh itu, institusi tersebut perlu dimartabatkan dan dimuliakan oleh semua rakyat. Penghinaan kepada raja atau sultan tidak boleh diterima.

"Menahan beliau di bawah Akta Hasutan hanyalah tindakan kecil berbanding jika kesalahan dikakukan di Thailand atau negara lain. Nampaknya ADUN tersebut gagal sama sekali memahami peranan institusi kesultanan dan KPPM berpandangan beliau tidak layak mewakili rakyat di kawasannya.

"Dengan itu, pendakwaan terhadap beliau amat difahami dalam usaha mengekang pihak-pihak lain daripada terus memburukkan institusi yang penting kepada semua rakyat," tegas Umar.

Jika sebarang tindakan tidak diambil ke atas wakil rakyat Parti Keadilan Rakyat itu, besar kemungkinan perbuatan tersebut akan dicontohi oleh rakyat lain.

rencana@utusan.com.my

Thursday, December 30, 2010

Warisan purba diancam pemanasan

Beliau merupakan ketua penyelidik arkeologi Perancis di Asia Tengah yang memainkan peranan penting dalam penggalian Kurgan atau makam puak nomad Scythian di pergunungan Altai, Siberia.

Ibun abadi yang merupakan lapisan beku bumi memelihara warisan dunia sehingga hari ini mula menunjukkan tanda-tanda ia cair. "Ada yang dimumiakan, cacah badan, ditanam bersama kuda, bulu, objek kayu dan pakaian.

"Bersama rakan-rakan sekerja Rusia saya, kami memerhatikan sebahagian daripada tanah cair setiap musim, malah semakin dalam saban musim. Tindakan segera untuk mencegahnya perlu dilakukan sebelum terlambat," ujarnya.

Menurut Francfort, jasad Oetzi ditemui disebabkan altitud glasier semakin menurun di wilayah Tyrol, Itali. "Glasier kian cair terutamanya di Norway akan membongkar beberapa khazanah lain," katanya. Pakar-pakar memberi peringatan peningkatan paras lautan mungkin akan melonjak sehingga satu meter menjelang tahun 2100 mengikut beberapa ramalan sekali gus memusnahkan berdozen tapak arkeologi pantai termasuk kepulauan Pasifik.

Di Tanzania, hakisan maritim telah memusnahkan satu dinding kubu Kilwa yang dibina penjajah Portugis di sebuah pulau yang terletak tidak jauh dari pantai pada tahun 1505, kata Francfort. Dalam pada itu, kota Panam di Sonargaon, Bangladesh juga merupakan jantung negeri Benggala dari kurun ke-15 hingga ke-19 turut musnah akibat sering dilanda banjir.

Panam sebelum ini disenaraikan Lembaga Eksekutif Pertubuhan Kebudayaan, Saintifik dan Pendidikan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) sebagai salah satu daripada 100 lokasi diancam oleh iklim perubahan.

Ramalan peristiwa-peristiwa melibatkan cuaca yang tidak dapat dijangka terutamanya taufan juga amat membimbangkan, kata pakar arkeologi Amerika di CNRS, Dominique Michelet. Dia berkata, kes Chan Chan di Peru yang merupakan bekas ibu negara tamadun Chimu dan prabandar terbesar Colombia di Amerika Latin terdedah kepada banjir yang berkait rapat dengan corak cuaca El Nino.

Sebahagian besar kuil Maya Tabasqueno di Mexico juga perlu dibina semula selepas ia mengalami kerosakan teruk akibat dipukul dua puting beliung pada tahun 1995 iaitu Opalo dan Roxana.

"Ahli arkeologi telah berjaya mengukuhkan kuil utama, tetapi bangunan-bangunan tidak dapat menampung air dan roboh," kata Michelet. Selain itu, pasir juga merupakan musuh tapak arkeologi seperti di Sudan apabila gumuk merupakan punca kawasan piramid Meroe semakin lenyap.

Setakat ini usaha UNESCO mengenal pasti tapak arkeologi berbahaya tidak ke mana dan dunia perlu mempunyai kesedaran mengenai ancaman ini, tegas Michelet. "Arkeologi merupakan sebahagian sejarah manusia," kata Francfort yang mencadangkan penyelesaian radikal perlu diambil untuk memelihara khazanah masa lampau daripada perubahan iklim.

Sumber : www.kosmo.com.my

Sunday, December 19, 2010

Jasa Tunku Dikenang

Pemimpin ulung yang memerdekakan negara bersama Tun Abdul Razak Hussein, Tun Tan Cheng Lock, Tun V T Sambanthan dan lain-lain untuk bangsanya kini hanya tinggal kenangan melalui gambar, artifak peribadinya dan penulisannya.

Buku hasil karyanya seperti Looking Back dan As I See It yang ditulis ketika menjadi pengerusi akhbar The Star (1974-1986) banyak mencetuskan kontroversi politik semasa. Malah, pada 1987 akhbar itu digantung penerbitannya dalam satu operasi eksekutif yang dipanggil Ops Lalang.

Sewaktu menatap pelbagai foto Tunku yang beraksi dan bersahaja, tatkala merenung hologram beliau yang dirakamkan dengan ucapan dan kata-kata hikmatnya, seseorang pelawat itu terasa seolah-olah Tunku masih bersama rakyat jelata yang menyokong dan bersamanya.

Pekikan merdeka tujuh kali di Stadium Merdeka 53 tahun lalu memenuhi ruang legar dan arena artifak Tunku di Galeri Tunku Abdul Rahman yang kini sudah menjadi mercu tanda sejarah dan kearkiban.
Kaum kerabat Tunku termasuk Tunku Ahmad Nerang dan Tunku Khadijah mengikuti bersama acara ringkas pada hari itu. Sebahagian besar jemputan terdiri daripada mereka yang mengenali Tunku dari dekat.

Datuk Yusof Latif, anak buahnya Tengku Dr Sofiah Jewa serta suaminya, Dr Yaacob Merican dan kenalan Tunku daripada pelbagai kaum turut bersama di ruang pameran galeri itu.

Masih terbayang dalam ingatan bagaimana ribuan manusia berkerumun di kediaman Tunku di Bukit Tunku pada 6 Disember 1990. Daripada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ketika itu sehingga kepada seorang individu bernama M Kuppusamy yang pernah bekerja dengan Tunku ketika beliau berjuang di Johor Bahru pada 1951, semuanya memberi penghormatan terakhir kepada Tunku pada tanggal sedih itu.

Penulis ialah Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan
(bharian.com.my)

Tuesday, November 23, 2010

Seisi Melaka kini mengerti Datuk, bahawa Hang Jebat merupakan penderhaka yang mengamuk, mengkucar-kacirkan istana dan seisinya serta berahi bermukah dengan 700 dayang dan perwara kesayangan baginda di kamar siraman mahu pun di tampuk singgahsana. Datuk Bendahara, sesungguhnya perkhabaran ini adalah dusta dan dongeng belaka kerana ia hanyalah perkhabaran rupa tanpa wujud petanda kukuh dan nyata. Barangkali juga, ia adalah satu fitnah dina yang disampaikan oleh Dang Prani, perwara istana kesayangan Patih Karmawijaya yang gemar mencipta muslihat dan angkara di istana. Bukankah Dang Prani juga telah mempergunakan Hang Tuah yang terlalu setia kepada baginda sultan untuk masuk ke kamar dayang-dayang suatu ketika dahulu? Lalu dengan muslihatnya bersama Patih Karmawijaya juga, Hang Tuah, pahlawan kesayangan Datuk Bendahara itu telah dijatuhkan hukum bunuh dengan tidak semena-mena? Namun, mujurlah dengan kebijaksanaan Datuk, pahlawan Melaka itu tidak langsung dibunuh tanpa usul periksa, sebaliknya hanya dipasung sahaja di dusun tua Datuk yang terletak di hujung rimbaloka.

Datuk Bendahara,

Jasad Hang Jebat telah selamat dimakamkan di hujung sebuah taman larangan di Duyong. Upacara kecil-kecilan ini nyata tidak banyak mengundang para jelata untuk bertandang ziarah ke upacara ini, lantaran nama Hang Jebat sudah busuk dalam fikiran rakyat Melaka sebagai penderhaka tegar dan pengkhianat kepada baginda. Khabarnya, berita kematian Hang Jebat juga sudah sampai ke pengetahuan Maharaja Baginda Pasai dan Sultan Pattani lantas ia menjadi buah mulut para marhaen di alam Melayu ini, lalu tersebar juga perkhabaran ini ke telinga ketua turus soldadu Peringgi, Alfonso d' Albuquerque yang baharu sahaja merafak sembah ke bawah duli Tuanku sepurnama yang lalu.

Namun, ada berita yang lebih pahit dari itu. Ada cakap-cakap siang yang mengatakan bahawa jasad Hang Jebat telah dibuangkan ke laut, dibakar dan abunya ditanam di pinggiran rimba. Perkara ini ternyata mendukacitakan hamba, Datuk kerana adat Melayu matinya biar berkubur dan bernisan, walau hidup jasanya dilebur dan menjemala cacian. Patik pohon perkara ini diperbetulkan kembali lantaran ia adalah fitnah dina semata-mata. Hakikatnya kekanda Hang Jebat telah bersemadi dengan aman di alam barzakh yang fana.

Bukankah Datuk juga yang memerintahkan pengawal Datuk untuk menghantar jenazah Hang Jebat pulang ke rumah untuk hamba menguruskan pemakamannya? Bukankah Datuk juga yang memerintahkan agar keturunan kami diusir keluar dari bumi Melaka yang bertuah ini? Lantaran itulah, hamba bersama Lang Buyong membawa diri bersama anakanda hamba, Hang Kadim untuk menderap langkah jauh daripada fitnah dan cercaan jelata terhadap kami lantaran kami merupakan jurai keturunan Hang Jebat, pahlawan derhaka yang telah menconteng arang di muka Tuanku Baginda.

Datuk,

Ingin juga di sini hamba khabarkan kepada Datuk Bendahara perihal Tun Indera Segara, kepala angkatan soldadu laut Melaka yang menjaga urusan keluar-masuk kapal di gerbang laut Melaka yang agak musykil tingkah lakunya sejak beberapa purnama. Tun Indera Segara dilihat amat baik benar dengan Deigo Lopez d' Squera, wizurai Peringgi yang meniaga senjata api di pasar Melaka itu. Hamba bimbang, kalau-kalau tersirat muslihat dan rahsia antara mereka, kelak bahanalah akibatnya segala kemakmuran negeri Melaka yang tercinta.

Persahabatan

Bukankah adat Melayu itu ramah bersahabat namun waspada pada ciptaan helah tipu muslihat? Bukankah Melayu tu diajar menenun lembar persahabatan namun tidak akan sekali-kali terlupa pada bilah gunting di dalam lipatan? Melayu itu dididik membenci khabar fitnah dina nan karut, namun tetap berhati-hati pada hadirnya musuh di dalam selimut? Bangsa ini bukankah pemurah ketika memberi namun andai menerima jangan sampai mengemis diri, apa lagi Melayu itu kayanya pada seluhur budi, miskinnya dari sifat meninggi diri? Melayu itu pedomannya merendah hati tatkala diri dijunjung, mulia hati apabila jasa murni sudah mula tinggi disanjung!

Bukanlah nian di hati hamba ingin menjala prasangka kepada pedagang Benggali Putih itu Datuk, tetapi andai sumbang langkah dan terlalu tinggi empunya bukankah kita dapat menerka kebimbangan bahawa barangkali pada suatu hari nanti mereka bersedia memasang perangkap untuk menjerat kedaulatan bumi Melaka dengan mencipta kesulitan dan angkara?

Datuk Bendahara Melaka yang bijaksana,

Hamba tidak pernah menyarang sesal kerana kehilangan arjuna tercinta, apatah lagi nyawanya dicabut oleh saudara kandungnya sendiri, Hang Tuah. Sementelah, Hang Jebat juga berkali-kali menceriterakan kepada hamba bahawa janganlah nyawanya diragut lanun Melaka, atau terburai dek robekan taring singa di Inderapura, atau dirodok todak di pesisir laut Temasik bergelora, kerana arjuna hamba itu lebih rela mati dek tikaman Taming Sari Tuah yang racunnya berbisa tak terkata.

Ada pun, hanya kerana kepalsuan bondongan kisah pilu ini menyelubungi hamba, menjadikan hamba terkilan dan hilang pertimbangan duga. Maka beredarlah hamba dan Hang Kadim ke Temasik untuk merawat jiwa. Mengenangkan kematian Hang Jebat menjadikan luka di benak dan kalbu hamba bertambah lara. Bagaimanakah mungkin segala pengorbanan Jebat terhadap bumi Melaka dipandang sepi begitu sahaja? Apakah ertinya pertarungan saudara ini atas alasan setia? Bukankah maruah dan kebentaraan Melaka terletak pada panji keadilan yang dikibarkan megahnya sebuana?

Di manakah terpancangnya paksi ketinggian budi yang selama ini menjadi pegangan orang kita, Datuk? Ingatkah Datuk kepada peristiwa dua dasawarsa dahulu? Peristiwa hitam yang hampir meragut nyawa Datuk tatkala sekumpulan petualang mengamuk ketika Datuk mahu menghadiri pesta tari-menari di balairung istana untuk menjamu ketibaan pedagang Parsi di Melaka? Bukankah ketika itu mereka lima bersaudara telah menyelamatkan Datuk ketika sepuluh orang pengawal Datuk yang pengecut itu membuka langkah seribu? Ingatkah Datuk bahawa antara mereka berlima, Hang Jebatlah yang mula-mula menerpa dan menghunus senjata demi mempertahankan nyawa seorang bendahara? Ingatkah Datuk bahawa Hang Jebat jugalah yang kemudiannya mengambil alih tugas untuk mengajar pengawal Datuk bermain senjata ketika Hang Tuah berlayar ke Terengganu untuk merencanakan muslihat untuk melarikan Tun Teja?

Kehilangan

Aduhai Datuk Bendahara,

Mudahkah untuk Datuk melupakan jasa dan bakti Hang Jebat selama ini? Andai kata Datuk tidak mencanangkan bahawa Hang Tuah itu masih hidup, sudah pasti Melaka tidak akan kehilangan seorang pahlawan yang dibunuh tanpa usul periksa dan cukup petandanya. Datuklah yang mencadangkan supaya Baginda Sultan memaafkan Hang Tuah dan membuang si Jebat yang khabarnya derhaka itu. Datuk jugalah yang melepaskan Hang Tuah dari pasungannya, memandikannya dengan air mandian istana yang diperbuat daripada sembilan puluh sembilan kuntum mawar sulung yang mekar di taman larangan istana dan sembilan puluh sembilan kelopak Daffodil kuning yang dihadiahkan oleh pedagang Belanda kepada Baginda Sultan. Lalu, Datuk jugalah yang telah memakaikan Hang Tuah dengan sepersalinan diraja yang diperbuat daripada tenunan sutera Cina dan benang emas yang dihadiahkan oleh seorang pedagang Arab dari Goa.

Usai segala urusan itu, Datuk jugalah yang memancing Baginda Sultan agar mengurniakan Keris Parung Sari Delima Sakti kepunyaan ayahanda baginda di Bukit Siguntang kepada Hang Tuah walaupun seisi Melaka mengerti bahawa selagi Taming Sari berada di tangan Hang Jebat, usahkan membunuh, melukai dirinya pun belum tentu dapat dilakukan oleh Hang Tuah. Lalu, Datuk jugalah yang mengajarkan Hang Tuah bicara manis untuk mencairkan hati Hang Jebat dalam pertarungan selama tujuh hari tujuh malam itu. Lalu, dengan takdir Allah Azzawajalla, terbunuhlah Hang Jebat setelah Hang Tuah berjaya mencipta muslihat untuk bertukar keris dengan Hang Jebat pada malam Jumaat, iaitu setelah enam hari mereka berpencak bermain senjata.

Maklumkah Datuk bahawa Hang Tuah telah menanggung bergunung sesal sejak kematian Hang Jebat itu? Saban hari dia akan menyalahkan dirinya atas kematian Hang Jebat. Apatah lagi, tatkala segelintir rakyat Melaka memasyhurkannya sebagai perwira, namun tidak kurang juga yang mencacinya lantaran mencabut nyawa Hang Jebat yang pernah disumpahnya bersaudara. Maklumkah Datuk, sejak membunuh Hang Jebat, Patih Karmawijaya bersorak-sorai dan kian arai mencipta bencana dalam pengenaan cukai disamping melebarkan pengaruhnya yang kian menjurai?

Datuk Bendahara,

Andai ada kisah hitam dalam riwayat keagungan empayar Kesultanan Melayu Melaka, maka pertarungan inilah satu daripadanya. Sebuah ceritera luka yang menyimpan sejuta rasa dalam lubuk jiwa yang bergelora. Pertarungan saudara atas dua rasa percaya yang berbeza. Satu setia kepada Raja dan tanah airnya, dan satu lagi setia membela kebenaran tanpa membenar kepalsuan bermaharajalela. Matinya Hang Jebat di tangan Hang Tuah bukan sahaja mengakibatkan hamba kehilangan kasihnya, tetapi juga laranya Hang Kadim kehilangan ayahandanya yang sebelum ini dikhabarkan sebagai 'Singa Melaka'. Apatah lagi pabila mendengar perkhabaran bahawa ayahandanya mati di tangan Hang Tuah, bapa saudara yang sering mengajarnya bermain senjata dan menjerat pelanduk di hujung taman inderaloka.

Matinya Hang Jebat menjadikan Hang Kadim terpinga dan sering mempersoal musabab kepergian ayahandanya. Inilah fiil anak kecil yang sering merindui kelibat ayahandanya yang hilang secara tiba-tiba. Rajuk dan tangisnya berjela-jela dalam murung rutin hidup yang berdukacita. Tiada senyum suka atau ria ketawa. Geringnya juga sudah berlarutan setengah purnama namun tiada tanda-tanda mahu kebah jua. Ternyata perkara ini menimbulkan kegusaran di benak hamba memikirkan perihal anakanda hamba yang dikasihi sepenuh jiwa.

Kewalangan

Namun, dalam pada kewalangan hati dan jiwa yang terluka, hamba sedikit terharu dengan perihal seorang pujangga berketurunan Banjar bernama Raja Abdullah yang sering sahaja mendekati hamba untuk mengetahui kisah kehidupan hamba lalu dihikayatkan ia di dalam senaskhah tulisan sejujur perinya. Pada firasat Raja Abdullah, kisah ini terlalu tragis dalam lingkaran peradaban kita dan ada juga kira-kiranya kelak kisah ini dapat diteladani oleh sekalian watan kita di kemudian hari agar mereka tahu membeza erti setia tumpul membuta dan tekal memperjuangkan keadilan meski nyawa menjadi taruhannya.

Datuk,

Andai ada kekhilafan laku pada sejalur sejarah kita ini yang masyhur peradabannya sebuana, inilah satu daripadanya. Pembunuhan Hang Jebat menjadikan dirinya tidak ubah seperti seorang sang pidana yang terpasung dalam jeriji keadilan yang marba. Tanpa belas dan pertimbangan nyata. Sarat duka dalam lipatan peristiwa yang mematahkan tangkai jiwa. Dirinya seperti seorang pidana yang terpenjara di kurungan keadilan yang tidak dipancangkan pada mohornya. Derhakanya di mata jelata adalah amukan bermaharajalela, meski dia hanya memperjuangkan keadilan yang menjauh dari tampuknya.

Dialah sang pidana yang terpenjara dalam mainan emosi dan runtun hatinya. Luluh jiwa berwalang rintihnya. Betapa apa jua akan dikorbankan demi sebuah keadilan walau nyawa dan jiwa menjadi galang gantinya. Betapa apa jua dugaan yang menimpa adalah lumrah seorang pejuang kebenaran yang sentiasa cuba untuk menggoyahkan paksi kepalsuan atas nama kesejahteraan. Betapa apa jua bentuk hukuman yang akan dihadapi perlu diredai lantaran percaya bahawa meski pejuang kebenaran itu mati, namun hakikatnya dia akan hidup seribu tahun lagi.

Demi Melaka dan kemasyhurannya, hambalah Dang Baru - sri kandi seorang pidana yang sering menangis sambil membebat berbondong derita di pasungan sejalur sejarah luka yang palsu dan lara."


Balik kehalaman awal>>


Sumber: Utusan Malaysia

Thursday, November 11, 2010

Kontrak sosial perlu dipatuhi rakyat: Nazri

"Di Malaysia terma ''kontrak sosial'' merupakan hasil daripada kompromi etnik Melayu, Cina dan India mengenai hak bersama dan masing-masing, kedudukan istimewa dan persetujuan antara raja-raja Melayu dengan British bagi mewujudkan suatu kerajaan dengan sistem demokrasi, beraja, bersekutu serta tidak teokratik," katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Nurul Izzah Anwar (PKR-Lembah Pantai) yang ingin tahu sama ada kontrak sosial yang wujud ketika merdeka diiktiraf oleh kerajaan sebagai satu kontrak rasmi dan sama ada Rukun Negara dianggap sebagai satu kontrak untuk rakyat.

Mohamed Nazri berkata Rukun Negara juga telah diwartakan sebagai hebahan kepada rakyat bahawa ia merupakan satu kontrak yang mengikat dan perlu dipatuhi oleh semua.

"Tujuan utama Rukun Negara diwujudkan adalah untuk mengembalikan keharmonian serta kesejahteraan rakyat berbilang bangsa dan agama serta berperanan memperkukuh semangat serta membentuk identiti nasional warganegara sebagai satu bangsa Malaysia," katanya.

Beliau berkata Rukun Negara adalah ideologi kebangsaan Malaysia yang telah diisytiharkan oleh Yang di-Pertuan Agong pada 31 Ogos 1970.
Selepas Rukun Negara diisytiharkan, kerajaan juga telah mengambil langkah meminda Perlembagaan Persekutuan melalui Akta Perlembagaan (Pindaan) 1971 bagi memasukkan prinsip-prinsip yang terkandung dalam Rukun Negara ke dalam Perlembagaan Persekutuan, katanya. - BERNAMA

www.bharian.com.my

Saturday, July 18, 2009

Sekadar Renungan

Dr. A.H.Johns dalam bukunya 'Malay Sufism' menggambarkan kemeriahan dan kegemilangan negeri Melaka:

"Dengan berkembangnya negeri Melaka sebagai sebuah pusat perdagangan Islam, dunia Melayu telah dibawa ke dalam arus perniagaan yang merentasi Asia Selatan, dari Mesir, dunia Arab, Teluk Parsi, Hindia Timur, Hindia Barat, dan Gugusan Kepulauan Timur dan China. Tambahan pula, Melaka di era kemuncaknya amat penting di dalam sistem perdagangan yang luas sekaligus merupakan kota antarabangsa. Ianya juga merupakan sebuah Kuasa Politik Utama Serantau dan pusat keagamaan bagi masyarakat Islam yang sedang berkembang ketika itu yang menjadi tumpuan utama bagi tujuan pengajian dan pendidikan bagi kaum muslim."

Hubungan erat yang terjalin di antara ulama dan umara ketika itu menjadikan Melaka sebagai pusat penyebaran agama Islam dan pusat ilmu. Ini dijelaskan oleh sarjana sejarah Muhammad Abu Bakar di dalam bukunya 'Ulama Terengganu - Suatu Sorotan'.

"Semenjak zaman Melaka, dan di sepanjang sejarah Islam di Tanah Melayu, ulama pula sering mendekati istana atau pusat kuasa, dan di sana atau dari sana, mereka bergerak memainkan peranan mereka. Di istana Sultan Melaka, ulama seperti Maulana Abu Bakar, Saiyid Abdul Aziz dan Maulana Yusuf, bukan sahaja muncul sebagai guru tetapi juga penasihat kepada pemerintah, satu kedudukan strategis yang membolehkan mereka berfungsi dengan lebih berkesan dalam skima pengislaman negara dan masyarakat...

...Masyarakat yang dipayungi oleh kekuasaan sultan atau raja, dan insaf tentang keperluan mentaati dan mematuhi ulil amri, tidak berada dalam keadaan berkonflik dengan ulama yang bergerak dan berdamping dengan pemerintah. Hubungan simbiotis antara ulama dan umara jelas sekali mendapat restu dan sokongan rakyat. Kesemua pihak bergerak dan berinteraksi dalam satu sistem yang padu. Walaupun masing-masing hidup berasingan dari segi fizikal, dan bekerja di tempat-tempat yang berlainan pula. Ketika perang dan damai, kesemuanya bertindak sebagai satu kesatuan."

Dipetik daripada buku 'Menyingkap Misteri Pulau Besar' oleh Ana Faqir.

Friday, May 22, 2009

Catatan Awal - Bhgn.2

Salah satu daripada negara Laut Selatan yang ternama (selepas kejatuhan Empayar Han) ialah Tun Sun, terletak di utara Semenanjung. Pada kurun ke-3, lebih daripada 500 ahli-ahli perniagaan India dan lebih daripada 1,000 orang Brahman tinggal di situ (kawasan berlengkar mengikut lebar Semenanjung ke pantai barat).

Ketua-ketua menterinya terdiri daripada Brahman, dan negeri itu sudah dipengaruhi sepenuhnya oleh adat-adat dan peraturan India. Cara 'mengkebumikan' orang mati seperti yang diamalkan oleh orang Parsee iaitu membiarkan mayat-mayat dimakan oleh burung yang memakan daging adalah biasa.

Orang-orang China menceritakan, sepuluh buah kereta lembu berjalan setiap hari mengelilingi bandar-bandar besar itu sambil menaburkan bunga-bunga yang harum baunya. Ada orang mengakui bahawa pantai timur hari ini telah mempunyai satu kesenian yang tidak dipunyai oleh pantai barat, dan apa yang menariknya, Tun Sun adalah negara takluk Funan, di Kemboja.

Satu lagi negeri di mana unsur India kuat ialah Ch'ih-Tu (Tanah Merah) di utara Semenanjung, mungkin di ulu Sungai Kelantan dan dipengaruhi oleh Funan, selepas itu Kemboja tetapi penduduknya adalah orang Malaysia.

Lawatan rombongan China dalam kurun ke-7 melapurkan adanya penyembahan Buddha dan wujudnya ramai Brahman. Malah dua orang Brahman membawa ketua angkatan menemui raja, yang kemudiannya mengatakan kepada ketua itu bahawa Tanah Merah telah menjadi hak negeri China. Telah ada cerita menarik tentang gadis-gadis penari yang mempesonakan, bekas minuman dari emas dan kekayaan, namun begitu kekuasaan China tidaklah pernah dikenakan ke atasnya.

Buku Undang-undang

Buku 'Pentadbiran Undang-undang Islam di Malaysia' ini merupakan koleksi penulisan tokoh perundangan negara iaitu Allahyarhan Prof. Tan Sri Ahmad Mohamed Ibrahim.

Buku ini dibahagikan kepada lima (5) bahagian. Setiap bahagian memaparkan idea, ulasan, komentar dan saranan penulis terhadap tajuk yang diperkatakan.


Kandungan buku ini:
(1) Pentadbiran Undang-undang Islam di Malaysia
(2) Pentadbiran Mahkamah Syariah di Malaysia
(3) Undang-undang Keluarga Islam
(4) Undang-undang Jenayah Islam dan Acara
(5) Sistem Undang-undang dan Social Order di Malaysia.

Terbitan : 1997
Harga : RM30.00
Jumlah mukasurat : 732

Tuesday, March 10, 2009

Catatan Awal - Bhgn 1

Semenanjung Tanah Melayu, bahagian tanah besar Malaysia, telah disebut dalam kesusasteraan India sejak kurun ke-6 lagi. Ia dipanggil Suvarna-dvipa yang dalam bahasa Sanskrit bermakna "Semenanjung Keemasan". Malaya mempunyai barang yang berharga itu yang di sepanjang zaman telah memaksa manusia meninggalkan tempat kediaman mereka yang selesa, untuk berjuang dan terbunuh di tempat-tempat yang luar biasa jauhnya; kerana emas. Emas dan bijih timah adalah barang-barang yang telah menarik orang-orang India, dan pengaruh mereka tidak patut dilupakan.

Memang biasa untuk menganggap Malaya, pada masa lampau dan juga sekarang, sebagai tempat berhenti yang letaknya sama tengah di antara India dan China. Tetapi ini adalah menyembunyikan kepentingan Semenanjung ini yang sebenarnya iaitu kerana emas dan bijih timah.

Memang mungkin bagi seseorang ahli sejarah melihat kapal-kapal India bersedia untuk belayar, dan membayangkan kapal-kapal itu belayar dari pelabuhan di timur India mengikut monsun. Ribut dan taufan di Teluk Benggala akan dialaminya seperti yang dialami oleh ahli-ahli pelayaran 1500 tahun lalu, dan di kawasan angin terang Selat Melaka bolehlah ia belayar dengan tenang seperti dulu.

Penyelidikan Wheatly menunjukkan bahawa sekurang-kurangnya telah wujud 30 buah negeri di Semenanjung Tanah Melayu tetapi tidak ada yang meninggalkan kesan di luar Malaysia, dan amat sedikit yang meninggalkan tanda-tanda penempatan mereka. Hanya daripada catatan dalam rekod-rekod China, Arab atau India yang serba kekurangan, kadangkala mengelirukan dan hampir-hampir sentiasa kabur itu sajalah gambaran yang tidak jelas berkenaan Malaya.

Itu pun tidak tepat kerana catatan yang digunakan untuk Malaya dan pulau-pulau itu adalah catatan daripada ahli-ahli pelayaran, menulis seperti biasanya dibuat, tentang pelabuhan-pelabuhan dan keriangan yang didapati di situ, sedangkan di Malaya, seperti di Kemboja, ekonominya berpusat di daerah pedalaman.

Walaupun catatan paling awal sekali tentang Malaysia telah dibuat oleh Ptolemy dan Alexandria (TM 150), penerangan yang ada pada kita kebanyakannya dari negeri China. Sejak Zaman Han orang-orang China telah mengetahui tentang Asia Tenggara, tetapi kita sendiri masih lagi di peringkat permulaan untuk mendapatkan keterangan itu untuk pengetahuan kita sendiri.

Wednesday, January 28, 2009

Pesta Pantun Bestari 2009


RajaMenangis Group melangkah setapak lagi dalam memberi pengikhtirafan berupa cenderahati untuk dua pemenang utama bagi Pesta Pantun Bestari 2009. Matlamat kami adalah untuk menyokong segala bentuk usaha dalam aspek seni demi memartabatkan warisan budaya kita yang unggul. Ia diadakan di kalangan universiti tempatan dan dianjurkan oleh AJK Perkembangan Kesenian dan Kreatif Kolej Kediaman Keempat (Universiti Malaya).

Berikut butir-butir lanjut:

* Tarikh : 6 & 7 Februari 2009
* Tempat : Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya
* Tema : Kegemilangan Pantun Warisan Berabad

Sempena Pesta Pantun itu juga, pihak RajaMenangis akan mengadakan jualan buku-buku secara usahasama dengan sebuah institusi yang terkenal. Diskaun menarik akan diberikan kepada yang membeli. Jangan ketinggalan bersama-sama memeriahkan acara ini (jualan diadakan pada hari Sabtu, 7 Februari 2009).


Friday, January 23, 2009

Luahan Rasa

Emel kiriman Sdr zakaria zaxx kepada kami:

Pernah lihat thriller terbaharu filem Langkasuka sebuah filem Nasional negara Thai?
Filem ini menelan belanja sekitar 20 milion USD..
Sejarah Langkasuka yg dipaparkan adalah berdasarkan kisah benar Thailand dan cerita sejarah tersebut boleh dipercayai kesahihannya kerana Thailand telah mempunyai suatu sistem penulisan yang maju dan lengkap ketika itu dan sejarah tersebut telah tecatat dalam penulisan sejarah negara mereka.. dalam cerita tersebut membuktikan bahawa kerajaan melayu Pahang telah wujud lebih awal daripada kerajaan melayu Melaka.. pada masa tersebut dikisahkan kerajaan Langkasuka telah menjalinkan hubungan diplomatik dengan kerajaan Pahang.

Seperkara lagi pada hemat saya negara China terlebih dahulu menjalinkan hubungan perdagangan dan diplomatik dengan kerajaan Pahang sebelum kerajaan Melaka kerana ianya lebih dekat jika dibandingkan dengan kerajaan Melaka.

Saudara pernah menonton filem Puteri Gunung Ledang lakonan Tiara dan M.Nasir?
Saya rasa filem tersebut telah lari dari fakta penceritaan sejarah yang sebenarnya.. justeru itu Sasterawan Negara A.Samad Said mengatakan bahawa beliau tidak faham tentang jalan cerita serta fakta sejarah dari filem tersebut walaupun telah menontonnya berkali2.

Bagi saya adalah suatu yang lucubila penerbit filem tersebut mangambarkan bahawa kerajaan melayu Melaka tak ubah seperti sebuah perkampungan Orang asli... ( hanya istana Sultan sahaja dibangunkan..)
Sedangkan rumah-rumah rakyat Melaka tak ubah seperti pondok menunggu.. tidak adakah di kalangan sejarawan Melayu yg berani tampil ke hadapan mengkritik filem tersebut?
Bukankah filem tersebut menghina sejarah kegemilangan orrang-orang Melayu suatu ketika dahulu?

Bukankah pada ketika kegemilangan kerajaan Melayu Melaka dahulu Melaka telah menjalinkan hubungan diplomatik dan perdagangan dengan empayar besar dunia ketika itu seperti negara China, India dan negara-negara di benua Arab..bolehkah saudara terima dengan akal yang sihat bahawa semua empayar-empayar besar tersebut telah menjalankan perdagangan sesama mereka di sebuah perkampungan orang asli (Melaka) seperti yang digambarkan di dalam filem tersebut?

Bukankah ketika negara China, India dan negara2 Timur Tengah berdagang di Melaka mereka telah membawa segala macam teknologi baik dari segi pertanian, pembuatan dan pembinaan bangunan. Justeru itu bagi saya tidak logik langsung jika penerbit filem tersebut cuba menafikan segala kemajuan serta ketamadunan empayar Melaka ketika itu.

Suatu yang tidak masuk dek akal bilamana negara-negara di Eropah suatu ketika dahulu pernah menggambarkan Melaka sebagai Venice Of The East tetapi dalam masa yang sama warganegara kita sendiri cuba manafikannya di dalam filem tersebut. Apakah tindakan yang dilakukan oleh Kementerian Penerangan dan KeKKWa terhadap penghinaan tersebut? Mengapa kita merosakkan segala sejarah bangsa kita.. sudahlah sejarah pejuang-pejuang kemerdekaan negara cuba dimanipulasi oleh pihak-pihak tertentu demi kepentingan politik kepartian mereka sehinggakan buku-buku sejarah di sekolah-sekolah kita tak ubah seperti buku-buku dongeng semata-mata. Cuba lihat sejarah kemerdekaan negara kita, siapa pejuang-pejuang kemerdekaan yang sebenarnya..?

Sunday, January 18, 2009

Old Treaties & Documents

PERJANJIAN & DOKUMEN LAMA MALAYSIA
Old Treaties & Documents of Malaysia
1791 - 1965

Isi Kandungan:
1. Persetiaan dengan Sultan Kedah, 1791
2. Persetiaan dengan Naning, 1801
3. Perjanjian Sir Stamford Raffles, 1819
4. Persetiaan antara Great Britain dengan Johor, 1824
5. Perjanjian Belanda, 1824
6. Penyerahan Pemerintahan Sarawak oleh Pangeran Muda Hassim, 1841
7. Tauliah drpd Sultan Borneo yang Melantik Gustav Baron de Overbeck sebagai Maharaja Sabah (Borneo Utara) dan Raja Gaya dan Sandakan, 1877
8. Perjanjian yang Dibuat oleh Pembesar Perak di Pulau Pangkor, 1874
9. Pemasyhuran Selangor, 1875
10. Pemasyhuran Pahang, 1889
11. Perjanjian antara Gabenor Negeri-negeri Selat yang Bertindak bagi Pihak Kerajaan Duli Yang Maha Mulia Baginda Queen dan Undang Luak-Luak yang selepas ini dinamakan Negeri Sembilan, 1895
12. Persetiaan Persekutuan, 1895
13. Perjanjian antara Great Britain dengan Siam, 1909
14. Perjanjian antara Kerajaan Duli Yang Maha Mulia Baginda King Great Britain dengan Kerajaan Kelantan, 1910
15. Perjanjian antara Kerajaan Dulu Yang Maha Mulia Baginda King dengan Kerajaan Terengganu, 1910
16. Perjanjian antara Kerajaan Duli Yang Maha Mulia Baginda King Great Britain dengan Negeri Johor, 1914
17. Perjanjian antara Kerajaan Duli Yang Maha Mulia Baginda King Great Britain dengan Negeri Kedah, 1923
18. Perisytiharan Panglima Tentera Jepun, 1942
19. Perjanjian antara Kerajaan Duli Yang Maha Mulia Baginda King United Kingdom Great Britain dan Ireland Utara dengan Negeri Perlis, 1945
20. Ordinan Peraturan Darurat, 1948
21. Perjanjian Penubuhan Perjawatan Malaya, 1948
22. Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu, 1957
23. Pemasyhuran Kemerdekaan, 1957
24. Perjanjian Berhubung dengan Malaysia, 1963
25. Pemashhoran Malaysia, 1963
26. Akta Perlembagaan dan Malaysia (Pindaan Singapura), 1965

Buku ini diterbitkan oleh
Institut Terjemahan Negara Malaysia 2008


Sunday, November 30, 2008

Pahang dan Acheh

Pemandangan Pekan, ibu negeri Pahang (1896)

Sultan Ahmad dengan rombongan baginda yang mengenakan sutera tenun Pahang, ketika Persidangan Durbar pertama di Kuala Kangsar (1897)

Pada 1614, Sultan Alauddin Riayat Shah III telah dibenarkan oleh Sultan Iskandar Muda Mahkota Alam (Raja Acheh) pulang ke Johor. Kebenaran itu diberikan kerana Sultan Johor berjanji:
* akan membantu Acheh melawan orang Portugis
* tidak membenarkan orang Belanda tinggal di Johor

Pada Ogos 1615, Sultan Johor (yang suka berbaik dengan Portugis) telah membuat perjanjian dengan orang Portugis di Melaka untuk menghantar putera baginda (Raja Bujang, Sultan Abdul Jalil Shah III) menduduki takhta kerajaan Pahang sebagai Sultan (bagi menggantikan tempat putera Almarhum Sultan Abdul Ghafur yang dikatakan kejam).

Sebulan kemudian, angkatan perang Acheh mengalahkan Johor dan menawan Sultan. Raja Abdullah (Sultan Abdullah Ma'ayat Shah menjadi pengganti dan baginda berkahwin dengan adinda Sultan Acheh).

Pada 1617, Sultan Acheh menyerang Pahang pula. Raja Bujang lari ke Pulau Lingga dan menetap di sana. Namun Raja Ahmad (ayah mertuanya) dan Raja Mughal (adik iparnya) serta 10,000 rakyat Pahang ditawan dan dibawa ke Acheh. Puteri Kamaliah (puteri diRaja Pahang) kemudian berkahwin dengan Raja Acheh. Puteri Pahang itu termasyhur dalam sejarah Acheh kerana kebijaksanaannya.

Selepas Acheh mengalahkan Pahang, putera Almarhum Sultan Abdul Ghafur kembali berkuasa memerintah Pahang. Baginda membangunkan beberapa buah kedai yang boleh didiami saudagar dengan membayar sewa. Kedai itu tidak jauh dengan kapal. Ramailah pedagang yang berlabuh di situ untuk berniaga.

Mengikut keterangan Baretto de Resende (orang Portugis): Pada 1629, angkatan Sultan Abdul Jalil Shah III (Raja Bujang) telah membantu orang Portugis di Melaka untuk menewaskan serangan Acheh.

Tiga tahun kemudian, Acheh mencadangkan askarnya bersatu dengan Belanda (sebagai angkatan laut) serta Sultan Pahang (tentera darat) menyerang Portugis di Melaka tetapi tidak dilaksanakan. Anehnya, pada 1634, Pahang dan Johor menyebelahi Portugis pula bagi menentang Belanda. Keadaan 'mengelirukan' ini berlarutan buat beberapa lama.

Foto: MALAYSIA - A Pictorial History
(Archipelago Press)

Thursday, November 27, 2008

Askar Timbalan Setia

Pasukan tentera Askar Timbalan Setia Negeri Johor ditubuhkan pada 1885. Ia diberi panji-panji diRaja pada 11 Mei 1916. Ketika penubuhan tersebut, Johor di bawah pemerintahan Sultan Sir Ibrahim Iskandar Al-Masyhur ibni Almarhum Sultan Sir Abu Bakar. Johor adalah negeri yang pertama memiliki pasukan tenteranya sendiri dan dibiayai oleh kerajaan negeri sehingga sekarang.

Ketika ura-ura akan meletuskan Perang Dunia Pertama di Eropah, pentadbir Inggeris mendesak Sultan Sir Ibrahim untuk menerima Penasihat British bagi membantu mentadbir negeri. Pada hakikatnya, ini bermakna baginda kehilangan kebebasan tersebut. Sebagai balasan, Gabenor Negeri-Negeri Selat bersetuju kepada penubuhan satu pasukan Askar Timbalan Setia yang berikrar taat setia kepada Sultan Johor. Ia boleh dikatakan sebagai tentera peribadi.

Kompeni pertama terdiri daripada 60 anak Melayu Johor (anggota askar infantri) dan 20 askar Punjabi (pasukan artileri). Kapten Newland, pegawai Inggeris, dilantik sebagai pemerintah pasukan. Orang Melayu pertama diberikan tauliah sebagai pegawai ialah Kapten Daud bin Sulaiman.

Perang Dunia Pertama

Antara peristiwa bersejarah adalah:

· Mereka menangkap askar-askar India (pasukan 5th Light Infantry di Singapura) pada tahun 1915 semasa mereka merentasi Selat Johor ketika melarikan diri daripada buruan pihak berkuasa British.

· Kontinjen seramai 2 pegawai dan 100 anggota mengawal keselamatan di Berek Tanglin di Singapura.

· Membantu kawalan tawanan perang ke atas tahanan Jerman di Singapura.

· Menjaga keselamatan kawasan di Pulau Belakang Mati (kini Pulau Sentosa) hingga akhir perang.

· Mengawal keselamatan laluan perhubungan di kawasan Mersing, Kluang dan Batu Pahat.

Perang Dunia Kedua

· Askar Timbalan Setia Johor tidak dikerahkan oleh Markas Gerakan Tanah Melayu sebagai sebahagian daripada pasukan pertahanan Semenanjung Tanah Melayu.

· Bila Tentera Jepun memasuki Johor Bahru, Askar Timbalan Setia tidak memberikan sebarang tentangan atau terlibat dalam pertempuran menentang mereka.


Tuesday, November 4, 2008

Catatan Norzailina...

Ketari, Bentong, Pahang. Tahun 1944. Kerana isterinya ditimpa penyakit selepas melahirkan, Ho Wah menyerahkan bayi perempuan itu kepada seorang bidan Melayu, Bah bt Itam. Bayi itu adalah ibu saya, Norlia bt Abdullah. Kini pada usia 63, dia dipertemukan kembali dengan kakaknya, Ho Ah Yook, 75, setelah terpisah selama hampir 58 tahun!

Pertemuan bersejarah diadakan di rumah kenalan Ah Yook di Ketari jam 10.00 pagi, 17 Nov 2007. Tiada air mata dititiskan, hanya senyuman gembira dan rasa puas hati dapat berdakapan setelah sekian lama terpisah oleh jarak dan waktu.

Semuanya bermula kerana Ah Yook cuba menjejaki ibu melalui rakan2nya (Kam Moi & Ah Mooi) yg masih tinggal di Ketari. Meskipun Ah Yook tidak fasih berbahasa Malaysia, perbualan kami (yg dialih bahasa oleh Ah Mooi) sungguh mesra dan menghiburkan.

Kata Ah Yook, wajah ibu saya mirip mendiang ayah mereka, Ho Wah (yg telah meninggal dunia di Ampang, rumah anak sulongnya, Ho Yin Fatt, 80). Banyak kisah keluarga ibu yang masih diingati oleh Ah Yook kerana usianya 12 tahun ketika ibu dilahirkan.

Waktu itu memang sukar kerana askar-askarJepun membunuh ramai orang-orang Cina. Ibu juga mempunyai seorang lagi kakak yg telah diserahkan kepada sebuah keluarga Cina (kini tidak tahu di mana dia berada). Sungguh sayu melihat dua orang wanita berpegangan tangan setelah sekian lama tidak bersua. Amat tersentuh melihat dua org wanita berlainan agama berdakapan kerana mereka lahir dari ayah dan ibu yg sama!

Setiap gerak geri ibu dengan kakaknya hampir serupa. Malah cara mereka senyum pun sama. Meskipun mereka dibesarkan dalam keluarga berbeza, pertalian darah itu tetap ada. Dan buat pertama kalinya, saya dapat memanggil 'Tai Yee' (mak cik) pada ibu saudara Cina saya!




 
Original Template By : uniQue  |    Modified and Maintained By : Intydez